Pembangkang Johor dah ‘setting’ kerajaan bayangan

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor sudah mempunyai kerajaan bayangan, jika Perikatan Nasional (PN) hilang majoriti.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hasaan, berkata kerajaan bayangan termasuk calon Menteri Besar dibincangkan dalam mesyuarat PH, Sabtu lalu.

Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor, bagaimanapun enggan menamakan calon Menteri Besar.

“Dalam mesyuarat PH Johor Sabtu lalu, kita bincangkan tentang Kabinet bayangan kita seandainya berlaku perubahan. Dalam masa sama, kita juga akan tentukan bilangan EXCO.

“Nama yang dicadangkan (sebagai bakal Menteri Besar) ada dua nama,” katanya di sini hari ini.

DUN Johor memiliki 56 kerusi dengan PN menguasai 29 kerusi dan pembangkang, 27 kerusi.

Pecahan 29 kerusi PN iaitu 14 dimiliki UMNO, BERSATU (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Parti Amanah Negara (AMANAH) dan empat PKR.

Wakil rakyat kerajaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, sebelum ini dipecat dari BERSATU kerana menyertai kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Slim tetapi pemecatan itu ditarik balik.

Ini menimbulkan spekulasi Osman menyokong pembangkang dan menjadikan DUN Johor mempunyai jumlah penyokong kerajaan dan pembangkang yang sama banyak.

Aminolhuda berkata, kerajaan bayangan bertujuan untuk memberi tanggungjawab kepada wakil rakyat pembangkang.

Ditanya mengenai sidang DUN Khamis dan Ahad ini, beliau yang ADUN Parit Yaani berkata:

“Tunggu sahaja nanti apa yang berlaku”.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker