PBNP ambil tindakan undang-undang terhadap Sumareh

Share
Mohamadou Sumareh yang dilaporkan mempunyai baki kontrak bersama Pahang sehingga 2022 telah melengkapkan perpindahannya ke pasukan Liga Thailand, Police Tero FC dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan. – Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemainnya Mohamadou Sumareh, sehari selepas pemain naturalisasi pertama negara itu menyertai pasukan liga Thailand, Police Tero FC.

Dalam kenyataan hari ini, PBNP mendakwa pemain kelahiran Gambia berusia 25 tahun itu telah memungkiri pelbagai terma serta syarat yang termaktub dalam perjanjian ditandatangani bersama pasukan.

Menurut PBNP, Sumareh telah melanggar kontrak perjanjian apabila gagal menyertai sesi latihan pasukan sejak 3 Ogos lalu selain tidak menghadiri beberapa aksi Liga Super membabitkan pasukan Pahang sebaik saingan bersambung pada 28 Ogos lalu.


“PBNP mempunyai asas yang kukuh untuk menyatakan bahawa pemain tersebut (Sumareh) telah memungkiri pelbagai terma dan syarat seperti termaktub dalam perjanjian.

“PBNP akan mengambil tindakan yang bersesuaian dari segi undang-undang terhadap pemain tersebut mengikut perjanjian yang ditandatangani berasaskan kepada peraturan berkaitan ditetapkan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia),” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, PBNP turut menafikan pihaknya gagal dalam membuat pembayaran gaji kepada Sumareh, sebaliknya berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani serta persetujuan yang dicapai secara bersama.


“PBNP tidak pernah gagal dalam membuat pembayaran gaji kepada pemain tersebut, menurut perjanjian yang telah ditandatangani dan atas persetujuan yang telah dicapai antara kedua-dua pihak, perkara ini berada dalam pengetahuan pemain tersebut sendiri,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Sumareh yang dilaporkan mempunyai baki kontrak bersama Pahang sehingga 2022 telah melengkapkan perpindahannya ke pasukan Liga Thailand, Police Tero FC dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan.

Perpindahan itu berlaku dalam tempoh dua minggu selepas jurulatih Pahang Dollah Salleh mendedahkan Sumareh tidak menjalani sesi latihan bersama pasukan sejak awal Ogos lepas.


Media tempatan sebelum ini melaporkan kemelut antara Sumareh dan PBNP berpunca daripada kegagalan PBNP membayar gaji pemain itu, sekali gus menyaksikan beliau membuat tuntutan sehingga lebih RM1 juta ke atas Pahang menerusi peguamnya yang berpangkalan di Switzerland.

— BERNAMA

Leave a Reply