PAS hasrat tanding 10 kerusi PRN Sabah

PAS berhasrat bertanding 10 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata Ketua Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan.

Beliau bagaimanapun berkata perincian kawasan yang bakal ditandingi parti itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Sekitar 10 kerusi kita ‘angkat’ untuk bertanding, termasuk calon Wanita PAS, dan PAS biasanya bertanding di kerusi tradisi misalnya di Tawau dan Kalabakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam perdana anjuran PAS Sabah semalam.

Takiyuddin berkata isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti Perikatan Nasional (PN) masih lagi dibincangkan. PN menggabungkan PPBM, Barisan Nasional, PAS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Kita tidak mahu berlakunya pertandingan 3 penjuru atau lebih yang terbukti merugikan kita sebelum ini. Jadi kita bertanding bersama-sama dalam kerjasama yang erat antara PN dan rakan sekutu di Sabah,” katanya.

Menurutnya, semua parti mengemukakan senarai kerusi yang diharap dapat ditandingi dan proses rundingan jawatankuasa di peringkat parti di Sabah serta Persekutuan masih berlangsung.

Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertandingkan dalam PRN kali ini, berbanding 60 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, selepas Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah pada Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan 26 Sept sebagai hari mengundi dan 12 Sept sebagai hari penamaan calon, manakala hari mengundi awal pada 22 Sept. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker