KMC tutup operasi, 2 warga kerja positif Covid-19

Pusat perubatan Kedah Medical Centre (KMC) menutup operasi selama 3 hari bermula esok bagi membolehkan sesi pembersihan dan sanitasi dilakukan selepas 2 warga kerja hospital disahkan positif Covid-19.

Dalam kenyataan hari ini KMC berkata, pembersihan dan sanitasi itu akan dilakukan di seluruh kawasan hospital bermula 9 hingga 11 September.

“Unit kecemasan dan kemalangan (24 jam) hanya menerima kes kecemasan sahaja. Sebarang kes kemasukan ke wad akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berdekatan.

“KMC ingin mengesahkan 2 individu diuji positif untuk Covid-19. Kes indeks adalah warga kerja yang mengalami gejala dan pemeriksaan RTK-Antigen yang dilakukan pada 5 September menunjukkan keputusan positif.

“Kes ke-2 melibatkan warga kerja lain yang merupakan kontak rapat kes indeks. Kedua-dua individu tersebut dirujuk ke hospital Kementerian Kesihatan untuk rawatan dan pemeriksaan lanjutan mengesahkan keputusan positif,” katanya.

Terdahulu Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 100 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 85 adalah penularan tempatan dan 15 kes import.

Kedah mencatatkan 22 kes daripada kluster Sungai dan Perlis 1 kes juga daripada kluster sama.

KMC turut memaklumkan anggota kesihatan dan warga kerja hospital serta individu yang pernah mempunyai kontak rapat dengan kes indeks dan kes ke-2 turut dikesan dan dihubungi serta merta. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker