Kerajaan cadang caj 0.02 peratus bagi pembelian di dalam talian

Share

Kerajaan bercadang mengenakan caj perkhidmatan 0.02 peratus ke atas pembelian dalam talian termasuk portal e-dagang, Lazada dan Shopee.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata caj perkhidmatan dikenakan serendah 20 sen bagi pembelian RM1,000 ke bawah.

Bagaimanapun, katanya, pembelian minimum bagi membolehkan caj perkhidmatan dikenakan belum ditetapkan.


“Ini masih dalam perancangan kementerian sebelum dibentangkan dan pendekatan ini adalah antara jalan mencari sumber lain yang tidak membebankan rakyat.

“Caj perkhidmatan yang dikutip itu akan digunakan untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi bagi mengelak pencerobohan siber.

“Ini bukan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana banyak pembelian dalam talian tidak membayar cukai, sekali gus menyebabkan kerugian dan ketirisan hasil kerajaan.


“Bagi mengenakan cukai agak rumit dan perlu diluluskan Parlimen, menyebabkan kita perlu memperkenalkan caj perkhidmatan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Komuniti @ Merdeka di Pengkalan Petah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Zahidi berkata, banyak serangan siber dilaporkan di seluruh dunia kebelakangan ini akibat ketirisan data seperti ke atas Western Union yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit.


“Sistem keselamatan siber di negara ini perlu dipertingkat dan diperkemaskan bagi mengelak ia berlaku.

“Justeru, kita perlu sama-sama membantu dalam menampung kos penambahbaikan komunikasi kerana ia membabitkan perbelanjaan besar,” katanya. BH

Leave a Reply