Isu air, kerajaan Selangor dan Jabatan Peguam Negara ‘berdamai’

Shah Alam: Kerajaan negeri akan berhubung dengan pihak Jabatan Peguam Negara bagi memperinci serta mengemaskini laporan kes insiden pencemaran sungai di Selangor termasuk kes terbaru Khamis lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri berharap tindakan tegas akan segera dilakukan bagi menyelesaikan masalah pencemaran sungai ini.

“Pagi ini saya sudah bertemu dengan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Salim Soib; Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman serta Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Nor Aziah Jaafar.

“Seterusnya kami akan berhubung dengan pihak Jabatan Peguam Negara untuk memperinci serta mengemaskini pelaporan berkenaan insiden pencemaran sungai di Selangor termasuk kes yang terbaru.

“Kerajaan negeri berharap tindakan tegas akan segera dilakukan bagi menyelesaikan masalah pencemaran sungai ini,” katanya semalam.

Beliau turut mengucapkan terima kasih serta mengambil maklum atas tindak balas segera Jabatan Peguam Negara semalam.

Katanya, kerjasama yang rapat antara semua agensi terutama antara kerajaan Persekutuan serta negeri amat penting demi memastikan keselamatan bekalan air negeri terjamin.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menafikan kenyataan Amirudin bahawa tiada tindakan diambil Jabatan Peguam Negara selepas kerajaan negeri selesai siasat kes pencemaran air pada April lalu.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, sehingga kini Jabatan Peguam Negara tidak pernah dirujuk dengan apa-apa kertas siasatan berhubung kejadian pencemaran air mentah di Selangor.-HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker