Hamzah sangkal dakwaan Mukhriz PPBM hilang 70% ahli

PPBM menyangkal dakwaan ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir yang parti itu akan kehilangan kira-kira 70% ahli.

“Ada yang mendakwa 75% ahli akan keluar parti tetapi di sini saya nak umumkan sehingga semalam hanya 247 ahli keluar parti,” kata Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-4 PPBM hari ini.

Hamzah berkata, ketika didaftarkan pada September 2016, PPBM bermula daripada parti sangat kecil dengan hanya 46,000 ahli.

“Pada 2017, keahlian meningkat sedikit kepada 54,000 dan hari ini Alhamdulillah kita sudah memiliki lebih 500,000 ahli di seluruh negara,” katanya.

Justeru, melihat kepada penerimaan semakin tinggi terhadap kepimpinan presiden Muhyiddin Yassin, beliau berkata, parti itu diyakini mampu merekodkan 1 juta ahli menjelang akhir tahun ini.

“Diketuai dengan Mohamed Azmin Ali dan bersama rakan-rakannya yang telah masuk ke parti kita, kita yakin kita dapat buktikan.

“Jangan risau dengan propaganda orang lain yang penting keikhlasan kita dalam memimpin,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Mukhriz dipetik berkata, kira-kira 70% ahli PPBM kini beralih arah untuk tidak lagi menyertai parti itu.

Katanya, beliau melihat perkara itu berdasarkan mesyuarat agung tahunan parti pada November tahun lalu apabila ramai yang tidak bersetuju dengan usul mahu melantik bukan Melayu ke jawatan khas seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Beliau berkata, ketidakpuasan hati mereka itu digambarkan apabila ada perwakilan yang hadir menjerit kerana tidak bersetuju dengan perkara yang tidak sewajarnya berlaku dalam PPBM. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker