Curi parang, kemudian ugut pemilik kedai dan orang awam

Seorang lelaki bertindak mengugut dan menakutkan orang ramai dengan sebilah parang yang dicurinya di sebuah kedai di Taman Ria, di sini pada Isnin.

Detik cemas itu berlaku apabila lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan masuk ke dalam kedai menjual alat perkakasan itu untuk mencuri parang tersebut.

Parang itu kemudiannya digunakan untuk mengugut dan menakutkan orang ramai di luar premis bangunan kedai berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, kejadian berlaku pada jam 1 petang ketika suspek berusia 31 tahun itu datang seorang diri ke kedai berkenaan.



“Suspek kemudiannya mengambil parang (besar) dan saiznya lebih kurang 0.3 meter (12 inci) dari rak di dalam premis itu dan terus berlari keluar.

“Tidak lama selepas itu, pemilik kedai berusia 63 tahun itu ternampak suspek berkeliaran di sekitar kawasan rumah kedai dengan memegang parang yang dicuri.

“Orang awam yang ternampak kelibat suspek mencurigakan dan membuat kacau di sekitar kawasan itu telah bertindak menghubungi pihak polis,” katanya.

Jelas Adzli, sebaik sahaja anggota polis tiba, suspek ketika itu sedang memegang dan menghayun parang sambil mengejar pemilik premis terbabit.



Tidak lama kemudian, polis telah mengarahkan suspek meletakkan parang berkenaan namun suspek tidak mengendahkannya.

Berikutan itu berlaku pergelutan antara anggota dengan suspek, namun akhirnya suspek berjaya ditahan dan dibawa pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai 17 rekod jenayah lampau termasuk dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 560 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan melakukan ugutan. Awani



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker