Buku saringan Covid-19 diambil scammer menyamar kakitangan KKM Melaka

Jabatan Kesihatan Melaka mengesan tindakan sekumpulan pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan dan mengambil buku saringan kesihatan Covid-19 di beberapa premis perniagaan di sekitar daerah Melaka Tengah semalam.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka Rahmad Mariman berkata perbuatan itu dikesan selepas beberapa pengusaha perniagaan terlibat membuat aduan kepada Jabatan Kesihatan negeri, dan seterusnya membuat laporan polis.

Beliau berkata berdasarkan maklumat pengusaha premis berkenaan, penyamaran dilakukan secara berkumpulan melibatkan dua atau tiga individu, dan mereka turut menunjukkan kad kuasa kononnya kakitangan Jabatan Kesihatan serta membawa satu borang sebelum mengambil buku saringan kesihatan Covid-19.

“Kita bimbang kalau perkara ini terus berlaku ia boleh menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan untuk menulis data peribadi semasa membuat pendaftaran hendak memasuki premis perniagaan.

“Kita juga khuatir data peribadi pelanggan yang diambil akan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab serta boleh menyebabkan ugutan jenayah atau sindiket penipuan melalui panggilan telefon,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, hari ini.

Rahmad berkata susulan itu, Pejabat Kesihatan Melaka Tengah juga telah membuat laporan polis agar siasatan lanjut dapat dilakukan bagi mengekang tindakan pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.

Beliau seterusnya menggesa pengusaha premis perniagaan di Melaka agar tidak memberi akses mudah atau membenarkan mana-mana pihak mengambil buku saringan kesihatan Covid-19 yang dikhaskan untuk merekod maklumat peribadi pelanggan.

Katanya buku berkenaan hanya boleh diperiksa kakitangan Jabatan Kesihatan negeri atau pejabat kesihatan daerah atau pihak polis bagi tujuan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dipatuhi.

“Jabatan Kesihatan Melaka ingin menegaskan bahawa tiada arahan dan tindakan sedemikian (mengambil buku saringan kesihatan Covid-19) daripada jabatan atau pejabat kesihatan daerah. Pemilik premis perlu melindungi data peribadi pelanggan dan diletakkan buku saringan kesihatan Covid-19 dalam dalam perhatian mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad mengesahkan menerima laporan daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri serta peniaga dan siasatan lanjut sedang dijalankan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini. Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker