Peguam Najib mohon buang beberapa paragraf pernyataan saks · MYKMU.NET

Peguam Najib mohon buang beberapa paragraf pernyataan saks

Share

KUALA LUMPUR – Belum pun sempat memberi kenyataan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah sekurang-kurangnya enam paragraf pernyataan saksi yang disediakan oleh saksi ke-10 pendakwaan, Mohd Hazem Abdul Rahman.

Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes terima rasuah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkata, pernyataan saksi yang dibuat oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB itu berasaskan khabar angin semata-mata.

Ketika prosiding bermula di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Muhammad Shafee berkata, ia juga dilihat sebagai tuduhan yang sangat serius tanpa bukti kukuh.

“Yang Arif, dokumen yang disediakan dengan 118 halaman itu mengandungi terlalu banyak tuduhan dan ia bersifat tanggapan semata-mata.

“Contohnya saksi itu mendakwa dia ada mendengar ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low berkata mengenai tujuan penubuhan 1MDB dan mengaitkannya dengan sebuah parti politik,” katanya.

Peguam itu berkata, dakwaan itu jelas menunjukkan dia bersifat khabar angin serta tuduhan yang sangat serius, sedangkan Jho Low tidak akan hadir ke mahkamah untuk mengesahkan.

Justeru, beliau berkata, pasukan pembelaan memohon agar beberapa paragraf pernyataan saksi itu dikeluarkan.

Bagaimanapun, ia mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang menyatakan pernyataan saksi yang disediakan oleh Mohd Hazem merupakan satu cerita lengkap.

“Walaupun pihak pendakwaan tidak akan memanggil Jho Low (buat masa ini), saksi sepatutnya diberi kebebasan untuk mendedahkan cerita yang dikaitkan dengan pertuduhan berkenaan,” katanya.

Setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Sequerah berkata, mahkamah akan membuat keputusan mengenai permohonan itu dalam prosiding seterusnya.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Sequerah disambung esok.

Leave a Reply