Peguam Jelaskan Balu Arwah Abam Tidak Saman Ibu Mentua

Share

Hari ini menerusi satu sidang media, peguam mewakili Siti Nurhidayah Mohd Ali yang juga balu Allahyarham Abam memberikan penjelasan berhubung kes saman yang melibatkan Hidayah dengan keluarga mentuanya itu.

Peguam Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Hidayah menerusi saman sivil menegaskan anak guamnya hanya bertindak menyaman adik iparnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Redzuan tanpa melibatkan ahli keluarga yang lain termasuk ibu mentuanya, Rosbiah Arshad.

“Kes bermula bila pihak kami telah failkan saman terhadap Syed Ali Mubarak untuk beberapa kenyataan fitnah yang telah dikeluarkan terhadap Hidayah. Pihak kami telah mengeluarkan saman tersebut pada bulan Mei lalu. Ali kemudian telah menfailkan saman balas terhadap Hidayah dan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri.


“Di sini saya ingin jelaskan bahawa kami hanya mengambil tindakan saman terhadap Ali yang mana ia sama sekali tidak melibatkan ibunya atau ahli keluarga yang lain. InsyaAllah, kedua-dua tuntutan saman ini akan digabungkan dan didengarkan tidak lama lagi di Mahkamah Sivil. Saya tidak boleh beri lebih lanjut fakta mengenai kes ini kerana ia boleh mengganggu prosiding mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, netizen mendakwa Hidayah telah mengeluarkan saman terhadap ibu mertuanya susulan isu perebutan harta yang ditinggalkan oleh Allahyarham Abam.

Sementara itu, peguam syariah Fadhlina Datuk Siddiq yang mewakili Hidayah untuk tuntutan faraid dan penjagaan anak tunggal Abam, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey menjelaskan tuntutan di Mahkamah Syariah tidak melibatkan sebarang amaun tuntutan.


Sebaliknya, ia adalah untuk membuat pengesahan mengenai waris-waris yang berhak menerima harta pusaka Abam mengikut hukum faraid.

“Untuk peringkat Mahkamah Syariah pula, ia melibatkan dua kes iaitu pertama, perakuan dan pengesahan waris faraid di mahkamah. Prosedur tersebut adalah untuk menentukan waris-waris yang sah kepada arwah sahaja dan pihak kami telah pun kenal pasti siapa waris yang berhak. Perkara ini tidak timbul isu saman kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya untuk pengesahan waris faraid si mati.

“Yang kedua ialah berkaitan kes hadanah iaitu hak jagaan anak. Proses itu dinamakan saman kerana kita mahu mereka hadir ke mahkamah untuk kebajikan anak atau cucu tersebut. Isu saman untuk pihak-pihak ini adalah untuk hadir ke mahkamah untuk tentukan sama ada pihak yang terlibat ini berkepentingan atau tidak terhadap kes ini. Tidak timbul isu saman-menyaman, saya rasa masyarakat awam kena faham ini semua adalah prosedur biasa mahkamah syariah,” jelasnya.


Tegasnya, dia meminta agar tidak membuat andaian-andaian liar dan serahkan kepada pihak mahkamah untuk menilai, menjaga kepentingan dan keadilan semua pihak.

“Prosiding telah pun bermula, jangan ada kacau ganggu dan hormat kes mahkamah. Saya juga sudah nasihatkan anak guam agar jangan beri sebarang komen dan hanya akan dedahkan fakta-fakta berhubungan isu tersebut di mahkamah.

“Biarlah mahkamah yang menentukan siapa yang betul dan salah, bagi ruang kepada proses keadilan untuk semua pihak,” jelasnya.

Sebelum ini, Ali menerusi FB Live yang dibuatnya telah mendedahkan kakak ipar telah menyamannya dan susulan itu, pelawak kumpulan Puteh itu telah bertindak menyaman balas Hidayah berhubung kenyataan yang dikeluarkannya menerusi video yang dikeluarkan oleh Aliff Syukri.

Menerusi video itu, Hidayah mengatakan dia keluar sehelai sepinggang daripada rumah Abam namun Ali yang tidak berpuas hati menerangkan Hidayah keluar rumah dengan membawa keluar duit RM10,000 daripada akaun Abam serta beberapa koleksi jam tangan G-Shock milik Abam.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, meninggal dunia pada 10 Februari akibat demam panas. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hidayah dan anak tunggal, Syed Uthman Hamzah yang kini berusia 15 bulan. – KopiPlanet.com

Kredit video: KopiPlanet, Facebook mStar Online

Leave a Reply