Mutakhir: Pemilik Proton Saga disaman polis

Rembau: Polis mengambil tindakan saman mengikut Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APK 1987) terhadap pemilik kereta selepas didapati membenarkan kenderaan terbabit dipandu kanak-kanak di bawah umur.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, tindakan itu diambil susulan tular sebuah video di Facebook (FB) yang menunjukkan seorang kanak-kanak memandu kereta dipercayai berlaku di daerah ini.

“Bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan kereta serta kanak-kanak terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak yang berusia 9 tahun itu memandu kereta berkenaan tanpa kebenaran dan pengetahuan bapanya yang berlaku di Kampung Bongek, Rembau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini tular video kanak-kanak lelaki memandu Proton Saga dengan tajuk ‘Handa orang Rombau haa’.

Menerusi video berdurasi 53 saat itu, kanak-kanak berkenaan turut memberitahu bahawa bapanya yang mengajarnya memandu kereta apabila ditanya oleh seorang lelaki dipercayai perakam video berkenaan.

Anuar Bakri berkata, satu laporan polis dibuat dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Menurutnya, kes itu disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.

Katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan masyarakat terhadap isu berkenaan.

“Saya berharap agar masyarakat dapat terus membantu dan sentiasa menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.-HM

Berita sebelum ini https://mykmu.net/2020/09/07/handa-orang-rombau-haa/

Related Articles

One Comment

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker