Kajian Ilham Centre : Kerja syaitan gugat penyatuan ummah Umno dan Pas

Gugat penyatuan ummah itu kerja syaitan, kata MB Kedah

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata golongan yang mahu memecah belah penyatuan ummah serta merosakkan perpaduan merupakan perosak agama.

Selain menyifatkannya berniat jahat, timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu juga berpendapat perbuatan seumpama itu sebagai ‘kerja syaitan’.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan kajian badan penyelidik, Ilham Centre yang menjangkakan strategi penyatuan Melayu digunakan Umno dan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak mampu bertahan lama.

“Kalau ada pihak yang cuba menggugat penyatuan ummah, itu kerja syaitan.

“Jika tidak mahu dilabelkan begitu sila buat kerja lain dan jangan ganggu penyatuan yang seharusnya disuburkan,” katanya seperti dipetik laporan Sinar Harian hari ini.

Muhammad Sanusi turut merujuk Surah al-Israa’ ayat 53 yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

Terdahulu, kajian Ilham Centre menyatakan sebarang retorik penyatuan Melayu dan ummah akan teruji ketika Muafakat Nasional (MN) berunding untuk agihan kerusi berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini terutama selepas Bersatu menyertai gabungan itu, sekali gus dijangka akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi kajian yang dilakukan Ilham Centre ibarat ‘sampah’ dan tiada fakta saintifik.

Malah, dia mendakwa mengenali individu yang terlibat dalam Ilham Centre yang dikatakanya adalah aktivis dari parti Amanah.

“Saya kenal siapa di belakang Ilham Centre. Kebanyakan mereka aktivis politik parti Amanah.

“Sebelum Amanah wujud, ada Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan jawatankuasa penaja ini terdiri daripada mereka di belakang tabir badan penyelidik itu.

“Kita boleh nilai pandangan mereka sama ada bernilai atau tidak,” katanya lagi. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker