Isu Air Selangor, Amirudin dakwa Peguam Negara tidak ambil tindakan

MB: Kes pencemaran April dah siasat tapi peguam negara tak ambil tindakan

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, hari ini mendedahkan tiada tindakan diambil peguam negara selepas kerajaan negeri selesai siasat kes pencemaran air pada April.

Beliau memaklumkan hal itu kepada pemberita ketika menjelaskan bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad berbanding kerajaan persekutuan dalam hal menghukum pencemar air.

Amirudin ditanya pemberita tentang penambahan hukuman sebat dan lucut hak ke atas pesalah pencemaran air.

Katanya, bidang kuasa Selangor hanya terhad kepada apa yang terkandung dalam Enakmen Lembaga Urus Air Selangor sahaja, oleh itu ia tiada kuasa untuk memenjarakan atau menyebat pesalah.

“Akta Alam Sekitar mempunyai budang kuasa lebih luas,” katanya pada sidang media selepas Dialog Belanjawan Selangor 2021.

“Contohnya, kita susah habis lakukan siasatan ketika pencemaran pada April tetapi tindakan tidak diambil peguam negara. Kuasa pendakwaan juga bukan bawah kita.”

Amirudin menegaskan beliau bukannya mahu menuding jari sebaliknya berhasrat untuk bekerjasama dengan Putrajaya.

Berdasarkan semakan di laman Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3, dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada 16 April akibat pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Dalam kejadian itu, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di 7 wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, dan Kuala Langat berikutan penurunan paras kolam utama.

Semua loji terbabit kembali beroperasi semula keesokan hari.

Sebelum ini, menteri besar mengumumkan hasrat menaikkan kadar denda maksimum terhadap pencemar air daripada RM500,000 kepada RM1 juta menerusi pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor.

Seruan supaya tindakan lebih tegas diambil terhadap pencemar air merentasi garis politik, termasuk Umno yang mahu undang-undang sedia ada dipinda atau undang-undang baru digubal bagi mengatasi masalah “sabotaj” bekalan air.

Perkembangan ini ketika bekalan air hampir 1.2 juta akaun di 7 wilayah Lembah Klang terjejas sejak Khamis. FMT

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker