Agong Mahu Tindakan Tegas, Hukuman Lebih Berat Terhadap Pencemar Sungai

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyifatkan pencemaran Sungai Gong hingga menyebabkan kira-kira 5 juta orang mengalami gangguan bekalan air di Lembah Klang sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab yang mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

Agong yang menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian berkenaan, mahu pihak disyaki terlibat menyebabkan pencemaran dibawa ke muka pengadilan dan jika didapati bersalah dikenakan tindakan tegas dan hukuman lebih berat.

“Sultan Abdullah yang mengikuti perkembangan sejak hari pertama gangguan bekalan air tidak berjadual ini amat prihatin terhadap keluh kesah dan beban rakyat mengharungi situasi itu.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa simpati kepada rakyat yang terpaksa beratur menunggu giliran dan bertungkus lumus mengambil air setiap kali gangguan bekalan berlaku,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menerima menghadap Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man di Istana Negara, hari ini.

Agong berkata, kes pencemaran sungai itu adalah kes berulang menyebabkan kemudaratan bukan sahaja kepada kehidupan rakyat, malah kepada sosio ekonomi sehingga banyak perniagaan terpaksa ditutup berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Kes pencemaran Sungai Gong sejak Khamis lepas menyebabkan 1.2 juta akaun membabitkan kira-kira 5 pengguna di 7 wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Media sebelum ini melaporkan pihak berkuasa mengenal pasti sebuah premis sebagai punca pencemaran sehingga menyebabkan 4 loji rawatan air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas.

Gangguan terbaru bekalan air yang tidak berjadual itu bukan yang pertama diharungi oleh rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur.

Situasi itu dialami penduduk Lembah Klang sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada awal tahun.

Selain tindakan tegas, Sultan Abdullah menyeru pihak berkuasa, khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air menerusi Jabatan Alam Sekitar mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan kes pencemaran sungai seumpama itu dapat dibendung dengan berkesan dan tidak berulang.

“Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan terhadap tindakan kerajaan negeri Selangor yang mengarahkan supaya pemilik premis yang menjadi punca pencemaran air merobohkan struktur bangunan kerana tanah persendirian yang dibangunkan sebagai premis penyelenggaraan jentera berat itu didapati tidak mempunyai kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Kenyataan Istana Negara itu turut menyatakan bahawa Agong menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi kerajaan berkaitan atas tindakan segera yang diambil bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan air kepada kawasan terjejas.

Sehubungan itu, Sultan Abdullah mahu penjagaan alam sekitar diberi fokus oleh pihak berkuasa, khususnya dalam urus tadbir pengurusan sungai dan aktiviti kesedaran dalam kalangan rakyat. –

Bernama

Related Articles

3 Comments

  1. Masalah pasal air ni da naik muak rakyat bangkitkan. Dari dahulu sampai sekarang zaman teknologi canggih…konon..di Malaysia. Mereka mereka yg menimbulkan masalah air ini dan masalah keperluan rakyat yg lain MESTI di kenakan tindakan maksimum. Paling minima Sebat 10 Kali dan penjara 5 tahun penuh. Kalau umor da nk mampus penjara 10 tahun. Biar mampus dia dlm penjara. Wahai pemimpin pemimpin dan penguasa2 sampai bila kami rakyat nk menderita kerana ketidakcekapan kamu bekerja. Mestikan setiap kali kami harus memilih lembu dan kerbau utk menjalankan kerja???

    1. setuju, raja, pemimpin, pegawai kerajaan yg berkaitan dn yg bertanggungjwb perlu lihat isu ini lbh serius, skrg masanya utk bkerja dgn lbhcekap, dedikasi dn amanah, bongkarkn segala penyelewengan dn penipuan. Jgn lg berlembut dn menerima suapan, kasihani dn sayangi bangsa dn agama . Hrpn rakyat kpd anda semua.
      Jgn sesekali jual neg utk kepentingan diri.

      1. Tangkap juga kakitangan kerajaan yg bersetongkol….jangan bagi muka..
        Jabatan Alam Sekitar kena lebih proaktif
        Jangan dok makan tidur saja..ada kes baru nak kerja….

        Bila berlaku kejadian baru nak kalam kabut…check juga siapa yg bagi kebenaran beroperasi….SPRM pun kena alertlah….kena proaktif jangan ada kes baru nak siasat..

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker