Tak boleh bagi PH ‘jaga’ Petronas lagi – Najib

Datuk Seri Najib Razak mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh diberi peluang menjaga Petronas lagi kerana telah mengakibatkan syarikat petroleum milik negara itu ‘jahanam’.

Beliau yang membuat perbandingan penyata akaun suku kedua 2020 Petronas dengan suku pertama 2018 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 berkata, walaupun rizab wang tunai Petronas jatuh RM8 bilion sahaja daripada RM164.7 bilion kepada RM156.8 bilion, jumlah liabiliti dan hutang Petronas sudah naik RM51.3 bilion daripada RM160.3 bilion kepada RM211.6 bilion.

Jumlah rizab ekuiti terkumpul Petronas juga telah jatuh RM39.2 bilion daripada RM390.6 bilion kepada RM351.4 bilion dalam masa dua tahun sahaja.

Baca: Petronas rugi kali pertama dalam sejarah

Ini pun di sebalik keuntungan Petronas sebanyak RM55.3 bilion pada tahun 2018, RM40.4 bilion pada tahun 2019 dan penjualan 478.43 juta saham-saham milik Petronas dalam Petronas Dagangan, MISC dan Petronas Gas dengan harga RM6 bilion pada akhir tahun 2019 bawah PH.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sepatutnya rizab ekuiti Petronas naik RM94.7 bilion (RM55.3b + RM40.4b) tetapi jatuh RM39.2 bilion pula – perbezaan sebanyak RM133.9 bilion.

”Jika Petronas rugi RM21 bilion akibat Covid masa PN (Perikatan Nasional), maknanya PH telah menjahanamkan RM111.9 bilion masa tiada krisis Covid,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tegas Najib, semasa beliau menjadi Perdana Menteri, kerajaan Barisan Nasional (BN) cuma mengambil dividen dengan sederhana dan Petronas juga dibenarkan untuk mengembang bisnes.

Ini dapat dibuktikan apabila rizab wang tunai Petronas naik empat kali ganda daripada RM45.5 bilion pada akhir tahun kewangan 2008 kepada RM164.7 bilion.

Rizab ekuiti terkumpul Petronas juga naik lebih 3 kali ganda dari RM114.3 bilion pada tahun 2008 ke RM390.6 bilion pada suku pertama tahun 2018.

”Inilah yang dikatakan Najib rompak negara. Rizab tunai Petronas naik RM120 bilion (4 kali ganda) manakala nilai ekuiti Petronas naik RM276 bilion (lebih 3 kali ganda) dalam tempoh 9 tahun Najib merompak,” tulis Najib.

Secara sinikal, Najib berkata, prestasi Petronas semasa di bawah pentadbiran BN jauh berbeza dengan masa PH.

”Tak kira ada krisis Covid ke tidak, Petronas masih dijarah PH sebanyak RM111.9 bilion. Sebab itu, PH tak boleh diberikan peluang untuk jaga Petronas dan negara lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker