Setiausaha Sulit Zahidi meninggal dunia

Share

Setiausaha Sulit kepada Zahidi Zainul, Mohd Shamsuddin Damin meninggal dunia semalam dipercayai akibat serangan jantung selepas rebah di sebuah chalet di Janda Baik, Bentong kira-kira 176 kilometer dari sini.

Allahyarham Mohd Shamsuddin, 56, mula berkhidmat dengan Datuk Zahidi Zainul Abidin sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri selain pernah menjadi setiausaha Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam).

Isteri Allahyarham, Jamaliah Ibrahim, 54, berkata arwah rebah semasa hendak bersiap untuk bersolat zuhur dan menghadiri program dengan pelajar pusat tahfiz Maahad An Noer di situ sekitar 12.45 tengah hari.


“Kami bertolak ke Janda Baik pagi ini kerana Allahyarham mempunyai program dan ingin bertemu dengan pengasas pusat tahfiz itu, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari untuk berbincang mengenai program baharu untuk pelajar.

Allahyarham memang rapat dengan pelajar di situ kerana sudah melibatkan diri sejak penubuhan pusat tahfiz tersebut. Malah beliau kerap mengundang pelajar di situ untuk terlibat dalam program keagamaan di Kuala Lumpur,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini.

Jamaliah berkata, Allahyarham mempunyai masalah jantung sejak empat tahun lepas. Mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia 22 tahun.


Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam pada malam ini, selepas selesai urusan di Hospital Bentong.

Sementara itu, Zahidi mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi laman sosial Facebook miliknya.

“Sama-sama kita doakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama hamba-Nya yang soleh dan dirahmati,” katanya. Bernama


Leave a Reply