Saingan PRN sengit, tidak mustahil DUN Sabah ‘tergantung’ lagi

Share

Pengerusi Pertubuhan Pemerkasaan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (Seeds), Arnold Puyok, berkata, pilihan raya negeri (PRN) akan datang bakal menyaksikan persaingan sengit dan tidak mustahil keputusannya bakal sekali lagi “tergantung”.

Katanya, sehingga hari ini, belum ada gambaran jelas parti atau gabungan mana yang akan mendominasi dan memenangi pilihan raya itu walaupun kelihatan parti seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan sekutu mereka lebih popular.

”Kami mendapati daripada segi sokongan secara keseluruhan, BN dan rakan mereka seperti PN, PBS, STAR dan yang lain lebih popular berbanding Warisan serta sekutunya.


”Ini menunjukkan PRN nanti sangat-sangat sengit. Setakat ini belum ada gambaran jelas gabungan mana yang akan menang dan kemungkinan besar keputusannya akan sekali lagi tergantung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas seminar Seeds berkaitan pilihan raya di Sabah, di sini, hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), keputusan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tergantung dengan BN dan Warisan serta sekutunya masing-masing memenangi 29 daripada 60 kerusi.


STAR yang ketika itu bertanding sebagai pembangkang dan memenangi 2 kerusi kemudiannya menyertai BN bagi menubuhkan kerajaan negeri.

Bagaimanapu, kerajaan yang dipimpin oleh Musa Aman itu hanya bertahan sehari selepas Upko bersama 5 wakil rakyatnya keluar BN untuk bersama-sama dengan Warisan dan PH bagi menubuhkan kerajaan baru Sabah.

Arnold berkata, PRN kali ini menarik dengan kehadiran parti-parti tempatan lain seperti Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang akan bergerak bersendirian.


”Nampaknya parti-parti ini mula mendapatkan sokongan di beberapa kawasan dan parti yang dianggap sebagai ‘the third forces’ mungkin akan memainkan peranan penting sebagai ‘kingmaker’ dalam menentukan pembentukan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Arnold berkata, sentimen pengundi terhadap faktor ekonomi semasa amat mempengaruhi mereka dalam memutuskan siapakah yang akan menerajui kerajaan Sabah nanti.

Selain it, katanya, isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berkaitan royalti minyak juga dilihat sebagai sesuatu yang diberi perhatian oleh pengundi.

“Kebanyakkan responden mengaitkan MA63 dengan royalti minyak dan bila ditanya kenapa, mereka mengatakan royalti minyak juga berkaitan keadaan ekonomi.

”Ini kerana kalau kita mempunyai royalti yang tinggi, kerajaan mempunyai pendapatan lebih dan ia boleh digunakan untuk membangunkan infrastruktur dan membantu masyarakat yang mempunyai isu kesukaran ekonomi.

“Bagi kami, berdasarkan data yang ada, nampaknya isu-isu berkaitan ekonomi sangat memainkan peranan penting,” katanya.

Terdahulu, Arnold berkata, hasil kajian yang disampaikan itu dibuat secara rawak oleh Seeds di seluruh Sabah bermula 4 hingga 31 Ogos lalu. FMT

Leave a Reply