Polis terus operasi besar-besaran lumpuh sindiket dadah, kata Acryl Sani

Polis akan terus menjalankan operasi besar-besaran untuk melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah dalam negeri dan antarabangsa berikutan kejayaan pasukan itu merampas dadah dianggarkan bernilai RM65 juta dalam operasi di Perlis, Kelantan dan Perak.

Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis tidak akan berhenti melaksanakan operasi seperti dijalankan selama 3 hari di 3 negeri terbabit yang berakhir semalam, malah akan meningkatkannya bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah.

“Ini termasuklah mereka (pengedar dadah) yang menjadikan negara ini sebagai transit untuk bekalan dadah bagi pasaran luar negara,” katanya ketika mengulas kejayaan polis merampas dadah bernilai lebih RM65 juta seperti dilaporkan hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Ramli Din ketika dihubungi berkata, pihaknya menahan 9 lelaki dan 2 wanita berusia lingkungan 16 hingga 47 tahun di ketiga-tiga negeri berikutan rampasan dadah bernilai lebih RM65 juta itu.

Beliau berkata, di Kelantan, polis merampas dadah jenis syabu seberat 972 kg, ganja (1,293 kg) dan pil yaba (11,800 biji) bernilai RM42 juta dalam 2 serbuan di Kota Bharu.

“Lima lelaki berusia 26 tahun hingga 33 tahun yang kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta seorang wanita berusia 25 tahun ditahan dan polis turut merampas wang tunai RM180,000 serta sepucuk pistol jenis Glock bersama 8 butir peluru.

“Turut ditemui di kawasan hutan berhampiran Sungai Golok, Rantau Panjang, Kelantan ialah 22 plastik mengandungi syabu seberat 440 kg bernilai RM17 juta,” katanya sambil menambah kesemua lelaki terbabit direman 7 hari sehingga Selasa depan.

Bagi serbuan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah, Perak, polis merampas dadah jenis ganja seberat 214 kg serta menahan sepasang kekasih berusia 32 tahun dan 47 tahun dan kedua-duanya direman sehingga Rabu depan.

Ramli berkata, serbuan di sebuah rumah di Padang Besar, Perlis menyaksikan polis merampas syabu seberat 126 kg dan ganja seberat 100 kg serta menahan 2 remaja berusia 16 tahun.

“Serbuan susulan di sebuah lagi kediaman di Padang Besar pula membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun yang dipercayai ketua sindiket dan ketiga-tiga suspek direman selama 7 hari sehingga Selasa depan.

Beliau berkata, berat keseluruhan rampasan adalah 3,145 kg dadah dan ia boleh dibekalkan kepada sejumlah 10.4 juta penagih.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kes di Perak dan Perlis turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Dadah berkenaan berkemungkinan diseludup dari negara jiran iaitu negara Segi Tiga Emas atau Golden Triangle,” katanya.

Ramli berkata, polis secara purata menahan 500 individu setiap hari kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di seluruh negara. Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker