Menteri: Suspek penyebab pencemaran sungai didakwa minggu depan

Kerajaan akan melaksanakan proses pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab mencemar sumber bekalan air sehingga mengakibatkan gangguan meluas di Selangor dan Kuala Lumpur pada minggu depan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ketika ini tindakan penguatkuasaan pelbagai agensi negeri dan pusat sedang berjalan.

Katanya agensi itu membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) jabatan alam sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan pihak berkuasa tempatan.

“Proses pendakwaan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan dilaksanakan minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan awal petang ini.

Tuan Ibrahim berkata pindaan ke atas peruntukan undang-undang sedia ada juga akan disegerakan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah.

Katanya langkah itu dibuat agar ia memberi pengajaran dan balasan setimpal dengan apa yang mereka dilakukan.

“Pindaan yang dibuat akan membabitkan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Span dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Terdahulu Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) membangkitkan kedudukan cadangan pindaan akta berkenaan yang diumumkan pada Feb lalu – ketika kerajaan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) – dan kini ia tidak lagi diperkatakan.

Kata Abim pindaan tersebut diperlukan agar hukuman yang diperuntukkan benar-benar memberi pengajaran. Antara cadangan dikemukakan ialah mengenakan hukuman penjara mandatori ke atas pesalah alam sekitar.

Sementara itu Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan air mula disalurkan kepada pengguna yang terjejas sejak jam 12 tengah hari tadi.

Katanya sebanyak 667 kawasan mula menerima bekalan berkenaan dengan pengguna terbesar ialah di Kuala Selangor, diikuti Gombak, Kuala Lumpur dan Kelang.

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas.

“Air Selangor menjangkakan bekalan air akan pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi pada 9 Sept ini.

“Oleh itu, Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang menerima bekalan agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker