Harapan, realiti dan persaingan politik

KETIKA Malaysia mula diserang wabak koronavirus (Covid-19) sekitar Mac lalu, kisah politik umpama ‘hilang’ seketika.

Kisah ‘dalam kain’ penubuhan kerajaan yang ketika itu dilabel sebagai sebuah kerajaan pintu belakang seperti lenyap. Jika ada pun, hanya serpihan kecil berita ahli politik A tidak puas hati dengan ahli politik B, C masuk campur lalu dan kemudiannya habis.

Warga maya mula hilang teruja melayan kisah siapa mastermind di sebalik ‘Langkah Sheraton’, sebaliknya yang menjadi kebimbangan ketika itu hanya Covid-19, wabak pembawa maut yang digeruni.

Ketika itulah muncul watak seorang lelaki budiman berdiri di hadapan kaca televisyen dengan tutur kata mendamaikan meminta rakyat Malaysia tenang saat diuji.



Beliau ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri kelapan yang dilantik saat negara berhadapan ujian paling hebat mendepani wabak yang menggoncang dunia.

Selepas fasa demi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilalui, keadaan dilihat kembali terkawal. Pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat, daripada kisah Mak Cik Kiah si penjual pisang goreng sehinggalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Ironinya, ketika badai umpama sudah melewati bumi Malaysia, politik negara kembali bergoncang. Kisah sebuah kuasa merajai semula jiwa politikus Malaysia. Virus politik kembali bermaharajalela.

Jalinan kasih di sebalik ‘Langkah Sheraton’ tidaklah seutuh disangka. Di sebalik ketenangan, ada kocak air yang tidak kelihatan pada mata kasar.



Berantakan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Muhyiddin kembali berantakan selepas keahlian lima orang pemimpin utamanya digugurkan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak mahu menyerah, parti Pejuang Tanah Air ditubuhkan sehingga membawa kepada gerakan ribuan ahli Bersatu meninggalkan parti itu dengan hujah hilang kepercayaan kepada Presiden yang dikatakan melakukan hijack ke atas parti sendiri.

Rekod ‘Abah’ nampaknya sedikit tercalar. Kisah-kisah perebutan kuasa menguasai media sosial. Kisah siapa lebih berkuasa kembali menjadi tajuk utama berita.

Pengumuman Presiden UMNO yang merupakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa gabungan itu menarik diri daripada menyertai PN memberi satu isyarat jelas tentang senario sebenar keadaan ‘dalam kain’ politik Malaysia. Ada yang masih belum cukup walaupun sudah duduk di bangku kerajaan. Satu lagi tamparan hebat buat Muhyiddin dan kerajaan PN.



Kata Ahmad Zahid, UMNO mahu mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama parti komponen BN dan Pas.

Menurutnya lagi, sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan ahli Parlimen UMNO dan BN di Dewan Rakyat dan ADUN pada peringkat negeri.

Tiada musuh yang kekal dan tiada kawan yang setia dalam politik. Itulah ungkapan yang sering didendangkan oleh mereka yang bergelumang dalam dunia politik.

Meskipun ungkapan itu bukanlah yang paling sesuai bagi menggambarkan keputusan Muhyiddin yang kemudiannya mengumumkan Majlis Tertinggi Bersatu sedia menyertai MN yang mendokong PN sebagai gabungan besar atau ‘the grand coalition’, tentu sahaja keputusan itu mencatatkan satu lagi sejarah politik yang dianggap unik.



Mukhriz sebelum ini menyifatkan keputusan bekas partinya menyertai MN sebagai perkara yang luar biasa. Amalan yang biasa berlaku, kata Mukhriz, ialah Perdana Menteri menjadi pengerusi kepada gabungan politik terbesar.

“Saya tak tahu adakah MN akan setuju mengangkat beliau (Muhyiddin) sebagai Pengerusi MN kerana Bersatu merupakan adik bongsu dalam MN,” kata bekas Menteri Besar Kedah itu.

Di sebalik kejernihan hubungan yang cuba digambarkan, muncul pula kisah ketidakhadiran Ahmad Zahid dan Ketua Pemuda UMNO pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN pada Selasa lalu.

Walaupun penjelasan telah diberikan, ia tetap menimbulkan tanda tanya. Apatah lagi apabila Timbalan Presiden UMNO membayangkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU15 dengan komponen BN dan Pas tiada masalah namun bersifat ‘kompleks’ dengan Bersatu!



* Salmiah Druhamad Drahsin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker