4 ditahan dalam siasatan pencemaran Sungai Gong

Polis menahan 4 lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin, berkata semua suspek berumur lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam semalam.

“Tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di Balai Polis Daerah Gombak.

“Kita akan buat permohonan reman pagi ini di Mahkamah Selayang untuk siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama.

Siasatan awal mendapati kilang berkenaan diusahakan oleh 4 suspek yang juga adik-beradik selepas bapa mereka meninggal dunia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Semalam, Menteri Besar Amirudin Shari berkata sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau sehingga menyebabkan 4 Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lepas, disita dan dikompaun serta-merta selain akan dikenakan tindakan lebih tegas.

Jelasnya, kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Sebanyak 1,292 kawasan di 7 wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Khamis selepas 4 LRA dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker