Anak pukul ibu bapa dengan kayu hanya kerana ditegur buat bising

TASEK GELUGOR: Berang ditegur kerana membuat bising, seorang lelaki tergamak memukul ibu bapa serta adik perempuannya menggunakan sebatang kayu sehingga cedera.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah rumah di Kampung Ara Kuda, di sini awal pagi Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, dalam kejadian sekitar pukul 2.35 pagi itu, suspek yang berusia 37 tahun dikatakan membuat bising di rumah hingga mengganggu tidur ahli keluarganya.

Bapa suspek yang berusia 70 tahun dikatakan menegur perbuatan anaknya itu namun teguran berkenaan telah menimbulkan kemarahannya.

Noorzainy berkata, suspek yang ketika itu disyaki berada di bawah pengaruh dadah mengamuk sehingga dia bertindak memukul mangsa menggunakan kayu.
“Suspek disyaki berada di bawah pengaruh dadah bertindak mengamuk dengan mengambil sebatang kayu dan mengetuk dinding rumah.

“Berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum suspek bertindak memukul kepala mangsa dengan menggunakan kayu yang dipegang. Ibu dan adik suspek cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul oleh suspek” katanya Noorzainy dalam kenyataan.

Akibat kejadian itu, bapa suspek mengalami kecederaan luka di bahagian tepi sebelah kiri kepala, manakala ibunya mengalami luka di bahagian atas kepala berukuran empat hingga lima sentimeter.

Adik perempuan suspek pula yang berusia 23 tahun mengalami lebam di bahagian belakang badan, bahu dan tangan.

“Kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas dan dibenarkan pulang,” katanya.
Siasatan di tempat kejadian tidak menemui senjata kayu yang digunakan oleh suspek.

Menurut Noorzainy, polis kini sedang giat mengesan suspek yang telah melarikan diri selepas kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata. Awani

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker