Tarik lesen kilang sebabkan pencemaran sungai

Share

Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia (DPIM) menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas dengan menutup kilang yang menyebabkan berlaku pencemaran di sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor.

Ketua Dewan Pemudanya, Shahir Adnan berkata, tindakan menarik balik lesen operasi kilang terbabit juga wajar diambil, agar kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

Beliau menegaskan, pihak yang merosakkan sungai seakan tidak mempedulikan tindakan undang-undang, yang mungkin kerana terlalu ringan bagi mereka atau tiada penguatkuasaan ketat oleh pihak PBT.


Katanya, penutupan kilang selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kerja pembersihan serta notis amaran dilihat gagal membendung masalah itu.

“Tindakan lebih keras wajar dikenakan agar tidak berulang,” tegas beliau dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Media semalam melaporkan, sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi, susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.


Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) Elina Baseri dilaporkan berkata, gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat LRA Sungai Selangir Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan bertugas akibat pencemaran.

Menurut Shahir, pengurusan Air Selangor telah memaklumkan LRA itu belum dapat beroperasi lagi sehingga jam 6.30 pagi ini.

Ini berikutan pencemaran masih dikesan di muka sauk loji yang kini berada pada tahap satu ton, berbanding semalam pada dua ton.


“Untuk makluman, LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap kosong ton.

“Penutupan LRA itu disebabkan berlaku pencemaran air mentah disyaki berpunca daripada tindakan premis perindustrian di kawasan Sungai Gong.

“Siasatan awal mendapati punca pencemaran adalah disebabkan dari kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gong yang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya.

Akibatnya, ujar beliau, sungai menjadi mangsa dan 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), menyatakan komitmennya untuk memberikan penerangan yang jelas kepada rakyat agar faham bahawa pencemaran di muka sauk itu hampir keseluruhannya disebabkan oleh kilang komersial.

Kata Shahir, syarikat air terpaksa menutup LRA demi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat agar tiada kes yang tidak diingini berlaku akibat minum air tercemar.

“Kelestarian antara pembangunan di negeri Selangor dan menjaga alam sekitar adalah penting demi kesejahteraan rakyat dan memperkasakan ekonomi di Selangor.

“Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan www.airselangor.com.

“Rakyat dinasihatkan untuk menghubungi operator air masing-masing atau mengemukakan aduan kepada [email protected] – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!