Penduduk kampung pertikai keputusan Shafie teruskan projek empangan Papar

Sebuah gerakan akar umbi meneruskan bantahan terhadap projek empangan Papar bernilai RM3 bilion susulan pengumuman Ketua Menteri, Shafie Apdal baru-baru ini yang pembinaan empangan itu akan diteruskan.

Pasukan Petugas Menentang Empangan Kaiduan (Takad) berkata, projek mega itu, yang meliputi 4 kampung di Papar dan 9 lagi di Penampang, akan memusnahkan cara hidup lebih 3,000 penduduk kampung.

Kumpulan itu mempertahankan empangan Papar ialah pengolahan semula projek empangan Kaiduan lama yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional terdahulu, yang turut dibantah mereka.

Jurucakapnya, Diana Sipail, berkata Shafie bertindak berlawanan janji pilihan raya Warisan terdahulu untuk membatalkan projek itu sepenuhnya.

“Penduduk Ulu dan Hilir Papar serta kampung lain di sepanjang sungai kecewa dan sedih dengan pengumuman Shafie,” katanya kepada FMT.

“Kenyataannya kelihatan angkuh dan tidak konsisten dengan janji dibuat partinya yang bertanding di kawasan terjejas dengan projek itu.”

Selasa lalu, Shafie ketika menghadiri sebuah acara di papar berkata, projek itu akan diteruskan untuk memastikan masalah air dihadapi daerah dan kawasan sekitarnya, termasuk ibu negeri itu dapat diselesaikan.

Katanya, walaupun sebahagian masyarakat membantah projek itu, kerajaan negeri perlu melihat secara keseluruhan keperluan rakyat yang memerlukan bekalan air bersih setiap masa.

Pakar ekonomi, Madeline Berma berkata, pembinaan empangan Papar dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air dan elektrik, selain menyediakan air minuman bersih di pantai barat Sabah menjelang 2024.

“Kajian menunjukkan empangan memainkan peranan penting dalam memanfaatkan sumber air,” katanya kepada FMT.

“Bagaimanapun, pengajaran daripada empangan mega Bakun dan Murum di Sarawak menunjukkan pembinaan empangan Papar akan memusnahkan alam sekitar dan melanggar hak Orang Asal yang tinggal di kawasan tersebut.

“Empangan itu akan menyebabkan masyarakat terjejas kehilangan tempat tinggal dan melibatkan kos sosio-persekitaran yang tinggi.”

Berma yang juga felo di Akademi Sains Malaysia, berkata kerajaan boleh mempertimbangkan pencarian sumber tenaga alternatif lain untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik.

“Bina tadahan air lebih kecil dan mikro-hidro berskala kecil (di bawah 100kw) serta piko-hidro (di bawah 5kw) yang tidak memerlukan empangan kerana ia menggunakan aliran semula jadi sungai.”

Katanya, kerajaan negeri perlu mengadakan rundingan dengan pemegang taruh.

“Sebaiknya kerajaan negeri membuat penilaian terhadap impak alam sekitar dan sosial sebelum keputusan akhir dibuat untuk membina empangan Papar.

“Ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan bebas (FPIC) daripada masyarakat terjejas.

“FPIC memberi hak kepada masyarakat Orang Asal untuk menentukan secara berkesan hasil daripada keputusan dibuat mengenai sebarang projek yang menjejaskan tanah dan sumber mereka.”

Sipail berkata, penduduk kampung belum diberikan maklumat telus dan rasmi mengenai projek tersebut.

Beliau mendakwa bantahan mereka belum didengari dan mereka tidak dilibatkan dalam mana-mana proses untuk mencari penyelesaian bersama.

Justeru, katanya, kumpulan itu dan penduduk kampung terlibat akan meneruskan perjuangan mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk mengambil tindakan undang-undang, jika hak mereka ke atas tanah tersebut diabaikan serta dilanggar.

Jackly Laksimin dari gerakan Selamatkan Sungai Papar, berkata mereka tidak faham mengapa kerajaan negeri tidak mempertimbangkan alternatif lebih awal yang disarankan pakar geologi, Felix Tongkul dari Universiti Malaysia Sabah.

Tongkul mencadangkan pembinaan tadahan air berbanding empangan.

“Kita menunggu dialog bersama menteri bertanggungjawab, tetapi ini belum berlaku. Tiada penjelasan mengenai lokasi sebenar, peta perancangan dan kajian impak berkaitan.”

Kumpulan tersebut membantah projek empangan Kaiduan yang pada awalnya dirancang untuk Ulu Papar di Penampang. Empangan baru, yang akan ditempatkan di Kampung Mondorongin, Papar, bakal mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 1 bilion liter air setiap hari. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker