Media sosial pihak terlibat platform baru Syed Saddiq

Share

Sebilangan orang yang menghadiri mesyuarat pertama gerakan politik berbilang kaum yang ditubuhkan Anggota Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerima ratusan pengikut baru yang disyaki akaun automatik, dikenali sebagai bot (bots followers) di akaun Instagram mereka.

Ahli Liga Rakyat Demokratik, Amir Abd Hadi berkata kepada Malaysiakini bahawa akaun instagramnya dibanjiri pengikut bot sejak dua hari lalu.

“Saya rasa (ia bermula) dua hari lalu, Akaun peribadi saya dapat lebih 500 (pengikut bot baru) dan akaun Liga Rakyat Demokratik saya rasa lebih 1,000,” katanya kepada Malaysiakini.


Jelasnya, dia tidak tahu menahu mengapa terdapat peningkatan mendadak pengikut bot di akaun media sosial namun selepas ditanya adakah ia mempunyai kaitan dengan platform baru Syed Saddiq, Amir tidak menafikan kemungkinan hal tersebut.

“Saya tidak berani untuk memberi komen kerana saya juga tidak tahu,” katanya.

Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri yang turut menghadiri mesyuarat pada 31 Ogos itu juga mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa akaun Instagram peribadinya dihujani pengikut bot sejak dua hari lalu.


Sejak itu dia mengunci akaun Instagramnya namun mengatakan mempunyai sekitar 300 permintaan pengikut bot tersebut.

Ditanya adakah insiden tersebut berkait rapat dengan platform baru Syed Saddiq, dia menjawab tidak tahu kerana tidak terbabit dalam gerakan tersebut.

“Mesyuarat (pada 31 Ogos) hanyalah melibatkan pihak yang berkepentingan,” jelasnya.


Artis dan Aktivis Orang Asli Shahar “Shaq” Koyok juga antara menerima pengikut baru yang disyaki pengikut bot walaupun sebenarnya tidak banyak.

Sementara itu, penerima biasiswa universiti Oxford, Nurul Ezzaty Hasbullah juga memuat naik berkenaan pengikut barunya di akaun Twitter semalam.

“Saya rasa, saya dah jadi selebriti Rusia kerana tiba-tiba saya ada banyak pengikut bot Rusia. Cantik,” selorohnya.

Terdapat beberapa gambar yang dilampirkan di tweet itu, yang menunjukkan sejumlah akaun yang merupakan gabungan nama dan angka yang telah mengikutinya di Instagram

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Rasheed turut mengeluarkan kenyataan berkenaan perkara ini.

“Semalam naik lebih 500 pengikut di akaun Instagram page, yang kebanyakan pengikut bot Rusia. Cantik,” ciapnya menerusi akaun Twitter.

Mereka ini antara yang hadir pada pertemuan rasmi berhubung platform baru Syed Saddiq pada 31 Ogos.

Dikenali sebagai “Muda Malaysia” buat masa ini, ia adalah platform politik berasaskan berbilang kaum yang dipimpin belia dan bertujuan untuk memecahkan status quo politik.

Jelasnya, gerakan itu juga dibarisi golongan muda di kalangan profesional, aktivis, pengasas startup, ahli akademik dan pendakwah, selain ahli politik. Mkini

Leave a Reply