Mahkamah Persekutuan perlu putuskan isu perlembagaan kuasa TYT singkir Ketua Menteri Sabah

Isu mengenai keperlembagaan kuasa Yang Dipertua Negeri Sabah untuk menyingkirkan Ketua Menteri yang sedang berkhidmat dan dilantik secara sah perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, kata Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dalam penghakimannya.

Dalam penghakiman 34 halaman, Hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata merit rayuan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman perlu didengar demi kepentingan awam dan bukannya ditolak sebagai bersifat akademik.

“Sudah diketahui umum bahawa ini bukan kali pertama rakyat Sabah menghadapi kemelut politik dan krisis perlembagaan seperti ini, dan ini bukan yang terakhir jika tidak diselesaikan oleh mahkamah ini,” katanya.

Abdul Rahman berkata amat penting bagi Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada kedudukan undang-undang sebagaimana yang ditafsirkan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes ini, merupakan kedudukan undang-undang yang betul.

“Ini untuk mengelak berlakunya krisis perlembagaan, yang berpotensi untuk berulang setelah keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

Minggu lepas, Abdul Rahman dan Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Musa merayu ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepadanya.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, dalam penghakimannya berkata keputusan kebenaran untuk merayu tidak sepatutnya diberikan kepada Musa dan sudah tidak wujud ‘isu hidup’ dalam kes tersebut.
Dalam penghakimannya yang dikeluarkan semalam, Abdul Rahman berkata belum ada pengakhiran mengenai isu sama ada Musa disingkirkan secara sah.

“Rakyat Sabah mempunyai hak untuk mengetahui sama ada penyingkiran Tan Sri Musa sebagai Ketua Menteri yang dilantik secara sah dilakukan secara sah, mengikut undang-undang dan menurut Perlembagaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Sabah telah menyingkirkan Musa dalam masa kira-kira 48 jam, sambil menambah bahawa Musa tidak diberi kesempatan untuk memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Rahman berkata kes Musa berbeza dengan kes di Perak yang Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah memohon untuk membubarkan DUN mengikut Perlembagaan Perak tetapi kemudiannya ditolak oleh Sultan Perak.

“Tidak seperti Sultan Perak, yang merupakan Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri Sabah diwujudkan mengikut Perlembagaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata Mahkamah Rayuan, yang berpendapat rayuan Musa bersifat akademik, menggunakan jalan penyelesaian mudah tanpa menjawab persoalan asas perlembagaan di hadapannya.

Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei, 2018, selepas memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi hilang majoriti apabila beberapa Ahli DUN daripada partinya (UMNO) serta daripada parti komponen Barisan Nasional (UPKO) melompat parti dan menyatakan sokongan terhadap Parti Warisan Sabah yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Musa kemudiannya memfailkan saman pemula bagi mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai ketua menteri yang baharu, mendakwa beliau adalah Ketua Menteri Sabah yang sah.

Pada 7 Nov 2018, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semasa menolak saman pemula Musa memutuskan bahawa pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri mengikut perlembagaan.

Musa juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan tahun lepas yang ditolak atas alasan ia bersifat akademik.
BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker