Timbalan menteri mohon maaf kepada pelajar ambil ujian atas pokok

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin memohon maaf kepada seorang pelajar yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

Beliau merujuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok di Pitas, Sabah untuk mendapatkan capaian internet baik bagi menduduki ujian pada Jun lalu.

Terdahulu, Zahidi dilaporkan berkata, Veveonah sebenarnya membuat rakaman itu hanya untuk hiburan dan menambah pengikut YouTubenya kerana hasil siasatan kementeriannya mendapati gadis itu tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

Kini, Zahidi mendakwa beliau berkata demikian selepas mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara hari ini.

“Merujuk perbahasan di Dewan Negara hari ini, saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau turut mendoakan Veveonah akan berjaya dalam bidang yang diceburinya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker