Lelaki ‘Flying Kick’ Peragut Mahir Taekwondo

Share

JOHOR BAHRU – Anggota penguat kuasa yang menjadi tular selepas berjaya menangkap peragut di sini sebenarnya memiliki latar belakang seni pertahanan diri, taekwondo.

Shazrin Hafeez Fadzlan, 26, merupakan pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjadi bualan hangat oleh netizen kerana berjaya menangkap peragut yang meragut beg tangan milik seorang wanita di sini.

Mempelajari taekwondo sejak usia sembilan tahun hingga 17 tahun, Shazrin melahirkan rasa terkejut kerana tidak menyangka aksinya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di premis berhampiran.


“Saya agak terkejut juga sebab tak tahu pun ada CCTV di kawasan tersebut.

“Bila ramai yang mengatakan saya membuat aksi ‘flying kick’ terhadap peragut, sebenarnya itu tidak berlaku, sebaliknya saya melompat ke arah badan belakang peragut lalu mencengkam ‘kunci’ pergerakannya supaya tidak lari.

“Kebetulan pula, waktu kejadian ramai tampil membantu saya, syukur peragut itu berjaya ditangkap,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.


Mengulas lanjut insiden tersebut, Shazrin memberitahu, ketika kejadian, beliau sedang bertugas di lokasi berhampiran sebelum terdengar jeritan wanita meminta pertolongan.

“Ketika kejadian saya sedang bertugas dan paling hampir dengan peragut tersebut. Selang beberapa buah kereta sahaja.

“Saya tanpa berfikir panjang terus menuju ke arah peragut kerana mangsa ketika itu sedang cuba untuk menghalang peragut dari lari sambil jerit meminta tolong,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkhidmat selama tiga tahun di MBJB turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai membantu semasa insiden tersebut.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membantu saya ketika itu. Kalau saya seorang rasanya tak mampu nak tangkap seorang diri.

“Dan apa yang saya lakukan adalah tanggungjawab sebagai manusia untuk bantu mereka dalam kesusahan.

“Saya berharap insiden ini menjadi pengajaran buat masyarakat agar lebih berwaspada terutama wanita dan mendoakan peragut itu insaf,” katanya turut membuka perniagaan menjual burger pada waktu malam.

Terdahulu, gambar dan video tangkapan terhadap suspek itu tular di laman sosial Facebook dan dikongsi di WhatsApp sejak semalam hingga meraih lebih satu juta tontonan.

Leave a Reply