Jadikan ‘kebun durian’ di Raub Tanah Rizab Melayu

Kerajaan negeri perlu beri geran tanah kepada penduduk seperti dijanjikan LKPP pada 1970-an

KUALA LUMPUR, 14 Muharram 1442H, Rabu – Kembalikan Tanah Rizab Melayu seperti mana yang dijamin dalam 7 Wasiat Raja-raja Melayu bahawa nisbah 50 peratus mesti dipertahankan, tegas Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat.

Beliau mengesyorkan demikian susulan pertikaian antara kerajaan negeri Pahang dengan pekebun durian di Raub yang mengusahakannya secara haram di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan.

Ustaz Masridzi berkata, tanah seluas 4,400 hektar itu wajar dijadikan Tanah Rizab Melayu kerana terlalu banyak tanah yang diambil dan tidak diganti.  

“Jadi tukarkan tanah ribuan hektar ini kepada Tanah Rizab Melayu kerana sekarang hanya tinggal 12 peratus. 

“Ganti semula, jangan jual tanah ini. Jangan jual kepada orang lain. Tanah ini sepatutnya menjadi aset peribumi,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Selain itu, sebahagian tanah yang diambil semula oleh kerajaan negeri disyorkan supaya diserahkan kepada pemohon veteran Angkatan Tentera Malaysia sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan terdahulu – Barisan Nasional. 

“Banyak veteran tentera kita yang putus kaki, mati terkorban. Namun veteran-veteran tentera tiada dapat pembelaan sewajarnya.

“Jadi mereka perlu diberi sebidang tanah seperti yang telah dijanjikan,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga, katanya, perlu menghentikan tindakan pengambilan tanah, dan memberi geran kepada penduduk sepertimana yang pernah dijanjikan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP).

Pada tahun 1970-an, LKPP menjanjikan untuk memberikan tanah seluas 0.81 hektar kepada setiap peserta Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK).

Media melaporkan, terdapat penduduk yang mendapat geran tanah, dan ada juga yang masih tidak mendapatkannya sehingga ke hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan dan kawasan hutan simpan.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram dan kawasan hutan simpan.

Antara kawasan kebun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker