Warga Emas terperangkap dalam lumpur tanah liat tak bermaya selama 3 hari untuk mencari tin dan botol minuman terbuang.

Share

Terjawab sudah kisah sebenarnya setelah tular di media sosial video mengenai seorang warga emas yang disangka ditanam hidup hidup di Kluang, Johor

KLUANG: Tiga hari berendam lumpur tanah liat. Itu pengalaman ngeri menimpa seorang warga emas pencari tin minuman dan botol minuman plastik terbuang di sini.

Wanita berusia 87 itu ditemui tidak bermaya dalam longgokan tanah liat di sebuah tapak projek perumahan di Taman Kluang Barat pada 11.30 pagi di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, mangsa, Low Chon Tai, sebelum itu dilaporkan keluar dari kediamannya Ahad lalu kira-kira 4 petang.

Katanya, mangsa bersendirian keluar dari rumahnya di taman yang sama untuk mengutip tin minuman dan kotak terbuang.

“Mangsa keluar dari rumah dan sepatutnya pulang sekitar 7 atau 8 malam dan menyedari ibunya tidak berada di rumah, anaknya berusia 66 tahun yang tinggal di Taman Titiwangsa di sini membuat laporan polis.

“Pengadu dan adik lelakinya mencari di kawasan sekitar tetapi tidak menjumpai ibu mereka dan bimbang sekiranya kejadian buruk berlaku kepada ibunya, pengadu membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan, sepasukan pegawai dan anggota polis membuat pencarian di rumah mangsa selain sekitar taman perumahan, kawasan kolam renang dan rumah kedai berdekatan.

“Polis juga melakukan usaha pencarian di kawasan Taman Desa dan kawasan berhampiran lokasi dilaporkan hilang.

“Pada 11.30 pagi hari ini, semasa pekerja tapak projek perumahan sedang bekerja, mereka ternampak seorang perempuan berbangsa Cina terbaring dalam longgokan tanah liat dalam keadaan tidak bermaya. Lalu pekerja di situ membantu mengangkat perempuan berkenaan dan menghubungi ambulans,” katanya.

Beliau berkata, polis memaklumkan hal berkenaan kepada ahli keluarga mangsa dan mereka mengesahkan perempuan itu adalah ibu mereka.

Menurutnya, tiada unsur jenayah berlaku dan mangsa dihantar ke wad kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.- Utusan

 

LOW Chon Tai kini menerima rawatan selepas ditemui tidak bermaya dalam longgokan tanah liat di sebuah tapak projek perumahan di Taman Kluang Barat, Kluang, Johor. – FOTO/MOHAMAD FAHD RAHMAT

 

Leave a Reply