TS Annuar hanya pertahankan Muafakat Ummah

1. Kebelakangan ini wujud keresahan dikalangan ahli parti berkaitan dengan kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional.

2. Seperti yang sedia maklum kedudukan beliau atas jawatan yang dipertanggungjawabkan menyebabkanbeliau merupakan ‘pihak yang berautoriti’ untuk menjawab dan mengulas berkaitan isu-isu berbangkit berkaitan BN dan MN.

3. Semua jawapan dan ulasan politik TS Annuar adalah selari pedoman Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi parti. Ia bukanlah atas kapasiti peribadi sebaliknya untuk mempertahankan mandat akar umbi yang diberikan kepada pimpinan di dalam Perhimpunan Agung UMNO melalui ucapan dasar Presiden UMNO bertajuk Muafakat nasional Pemacu Politik Malaysia pada 6 Disember 2019 yang diterima sebulat suara dari perwakilan yang hadir.

4. Memetik bait Presiden, “UMNO perlukan Politik Berimbang bagi menghadapi politik huyung-hayang dan politik songsang. UMNO bukan parti yang “rigid, rasis atau terlalu longgar dan liberal” , “La ifrot wa la Tafrit”. Kita perlu mengubah UMNO kepada budaya politik berimbang berasaskan prinsip perjuangan, keterbukaan dan perundingan selagi asas-asas Perlembagaan dan kontrak sosial tidak dicabuli”

5. Impak kewujudan Muafakat Nasional iaitu kerjasama politik antara UMNO dan PAS telah menyebabkan BN menang tujuh kali PRK yang diadakan termasuk lima kali sebagai pembangkang.

6. Dengan dasar Politik Berimbang, UMNO juga berjaya menjadi kerajaan melalui kerjasama Ahli-Ahli Parlimen UMNO, BN, PAS, GPS dan Bersatu di dalam Perikatan Nasional.

7. Strategi MN ini sudah tentu menakutkan pembangkang dan mereka yang benci dengan perpaduan ummah, dan berusaha untuk mencari jalan supaya gabungan politik sebegini tidak menjadi kenyataan pada PRU15.

8. Seperti ada wujud gerakan terancang untuk memanipulasi pandangan dan ucapan pemimpin tertinggi UMNO, BN dan MN dan TS Annuar salah seorang yang menjadi sasaran serangan.

9. Sehubungan dengan itu, pemimpin dan ahli UMNO di peringkat akar umbi diminta memberikan kepercayaan kepada pemimpin tertinggi UMNO, BN dan MN untuk merancang agenda memenangkan parti.

10. Dalam masa yang sama, TS Annuar seorang yang cukup cermat meraikan pandangan akar umbi, ini adalah supaya wujud check and balance dalam setiap rancangan parti.

11. Setiap pandangan yang munasabah diteliti dan diambil perhatian yang sewajarnya. Beliau percaya riuh rendah (dengan pandangan) adalah sifat utama di dalam demokrasi yang matang.

12. Apa yang penting adalah Muafakat Ummah untuk PRU15 perlu dijayakan dengan strategi yang berubah-ubah tetapi objektif dan matlamat kekal selamanya.

Budiman Mohd Zohdi
Setpol TS Annuar Musa
1 September 2020

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker