Setengah tahun pencapaian PN: Harapan & Cabaran Aspek Agama

Dalam tempoh setengah tahun pentadbiran, sememangnya tidak banyak pencapaian yang dapat dilakukan oleh sesebuah kerajaan. Tambahan pula, fokus kerajaan terpaksa ditumpukan kepada agenda menangani penularan wabak Covid-19. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud Kerajaan PN langsung tidak menunjukkan sebarang pencapaian di dalam bidang agama.
Ketika era PN, isu-isu berkaitan bidang agama kelihatan dapat dikawal dan keresahan masyarakat Melayu-Islam kelihatan kendur. Adalah tidak dinafikan bahawa antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini ialah fokus yang teralih kepada agenda membendung penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan isu agama tidak menjadi tumpuan utama.
Walau bagaimanapun, hakikat bahawa wujud persepsi positif masyarakat terhadap Kerajaan PN tidak boleh ditolak. Berbeza dengan PH yang dilihat mengambil pendekatan yang longgar bersabit dengan isu-isu agama, PN tidak begitu menyentuh isu-isu sensitif yang melibatkan agama dan kaum.
Malah, di mata masyarakat, tiga parti teras bagi Kerajaan PN, iaitu BERSATU, UMNO dan PAS, dilihat merupakan gabungan yang meyakinkan dalam membawa suara Melayu-Islam. Pandangan ini mempunyai asasnya jika dilihat berdasarkan tempoh setengah tahun pentadbiran PN ini, di mana tidak timbul isu yang boleh mengguris sensitiviti agama daripada pihak kerajaan.
Senario ini agak berbeza jika dibandingkan semasa era PH, di mana beberapa sikap yang tidak popular pada pandangan masyarakat Melayu-Islam telah diambil oleh kerajaan yang melibatkan pendidikan, perundangan dan sebagainya.
Di samping itu, pelantikan YB Senator Datuk Dr Zulkifli al-Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama juga boleh dianggap sebagai satu pencapaian yang baik oleh PN. Meskipun hanyalah sekadar pelantikan bagi jawatan seorang Menteri, namun pendekatan PN ini telah mendapat pujian oleh ramai pihak. Pelantikan ini dilihat sebagai suatu yang baharu bagi konteks di Malaysia kerana Menteri yang bertanggungjawab dalam bidang agama dipilih dari kalangan mufti yang semestinya mempunyai wibawa.
Malah, sikap Dr Zulkifli yang sentiasa tenang, merendah diri dan tidak mudah melatah sememangnya disenangi oleh semua. Hal ini agak berbeza dengan mantan Menteri Agama sebelumnya, iaitu YB Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof, yang agak kontroversi sepanjang menjawat jawatan tersebut.
Dr Mujahid merupakan seorang ahli politik, lama berada di pihak pembangkang (PAS, kemudian AMANAH) dan menjadi anggota kabinet kerajaan selama 22 bulan di bawah PH. Dr Zulkifli pula bukan dari kelompok ahli politik kepartian, malah beliau sebelumnya merupakan seorang yang bergelumang di dalam bidang ilmu dan fatwa.
Di sini sahaja sudah boleh dilihat perbezaan antara PH dan PN dari sudut pelantikan individu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal agama.
Selain jawatan Menteri Agama, beberapa jawatan lain juga turut diposisikan secara profesional oleh Kerajaan PN. Sebagai contoh, Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah dipilih dari kalangan tokoh yang tidak terlibat secara langsung dengan politik kepartian dengan sulaman mereka yang berparti. Mereka terdiri daripada Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti (merupakan Timbalan Yang di-Pertua YADIM), Prof Dato’ Dr Zulkifli Haji Mohd Yusoff, Datuk Dr Norhafizah Musa, Dato’ Dr Fathul Bari Mat Jahya, Dr. Safinar Salleh, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood, Dr Muhammad Faiz Na’aman, Ustaz Mohd Zaidi Ramli, Datu Haji Loling Othman Haji Alwi dan Encik Sainuri Yahmin.
Barisan ALPA YADIM yang baru dilantik ini merupakan gabungan ahli profesional daripada pelbagai disiplin dan latar belakang seperti bidang agama, akademik, pengurusan, gerakan dakwah dan lain-lain yang diyakini mampu menjana idea dan memberi nasihat kepada pihak pengurusan YADIM dalam melaksanakan fungsi yang telah ditetapkan.
Hal ini adalah berbeza dengan pelantikan semasa pentadbiran PH, di mana sebahagian besar ALPA YADIM dipilih dari kalangan mereka yang terlibat secara langsung dengan politik kepartian. Ini termasuk mereka yang dilihat sering mengecam individu-individu yang tidak sealiran secara terbuka di dalam media-media sosial.
Ada kalanya kecaman itu kelihatan keterlaluan dan tidak mencerminkan adab serta akhlak seseorang yang berada di dalam badan dakwah.
Disebabkan itulah ketika PH membawa agenda Rahmah, walau ia kelihatan sangat menarik secara luarannya, tetapi tindakan-tindakan di bawah telah sedikit sebanyak mengganggu agenda Rahmah yang cuba diketengahkan.
Maka, jadilah Rahmah itu sebagai slogan yang hanya manis disebut di bibir, walaupun sebenarnya ia boleh menjadi agenda untuk diketengahkan ke peringkat dunia bagi tujuan mewujudkan keamanan global.
Usia pentadbiran PN masih terlalu muda untuk diukur dari sudut pencapaian. Membandingkan sebuah kerajaan yang baru memimpin dengan kerajaan yang lebih lama memimpin semestinya merupakan satu ukuran yang tidak adil.
Walau bagaimanapun, PN telah memperlihatkan pencapaian yang agak baik, sama ada dalam pentadbiran umum mahupun dalam bidang agama, meskipun baru menerajui kerajaan sekitar setengah tahun.
Sikap tidak menyentuh isu-isu sensitif agama dan sikap profesional dalam pelantikan jawatan-jawatan penting bagi sektor agama menggambarkan bahawa PN cuba mengambil pendekatan baharu berhubung hal-hal yang berkait dengan agama.
PETIKAN KERTAS KERJA 12 YANG DIBENTANGKAN OLEH PROF DR MOHD ROSLAN MOHD NOOR, PROF DATUK DR MOHD YAKUB @ ZULKIFLI MOHD YUSOFF DAN MUHAMMAD KHALIS IBRAHIM DARI UM
Dr. Kamarul Yusoff

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker