Pesisir pantai Perlis laluan baharu sindiket seludup ketum – PGA

Sindiket penyeludupan daun ketum dipercayai beralih ke kawasan laut di pesisiran pantai Batu Putih, Perlis sebagai laluan baharu untuk menyeludup daun ketum ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, Supt Md Dali Jamil berkata tindakan tersebut susulan kawalan ketat menerusi Op Benteng COVID-19 yang dilaksanakan di sempadan negara dari Bukit Kayu Hitam hingga Wang Kelian.

“Batalion 2 PGA Kulim yang mengambil alih penugasan (mengawal sempadan) sejak 3 Ogos lepas berjaya merampas 11.8 tan metrik daun ketum bernilai RM348,000 dan daripada jumlah itu, sebanyak 2.5 tan daun ketum dirampas dari penyeludup yang menggunakan bot pancung di kawasan pantai tersebut.

“Kami melihat trend penyeludupan telah berubah dengan menggunakan pesisir pantai di Perlis terutama di Batu Putih untuk menyeludup daun ketum ke negara jiran, sebelum ini tidak ada kes di situ, sekarang ada lima kes,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Md Dali berkata sepanjang tempoh penugasan bermula 4 Ogos sehigga semalam, pihaknya telah menahan tujuh pendatang tanpa izin terdiri daripada warganegara Thailand, China, Myanmar dan Bangladesh yang cuba menyeludup masuk ke negara ini.

“Seorang warganegara China yang ditahan juga cuba merasuah anggota kita sebanyak USD3,069 (RM12,869) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta memiliki tiga pasport antarabangsa milik orang lain. Kes diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata dua warga tempatan berusia 40-an pula ditahan selepas didapati cuba menyeludup pelbagai jenis dadah ke negara jiran di satu kawasan di Padang Besar, Perlis, 22 Ogos lepas.

Md Dali berkata sepanjang tempoh penugasan itu, pihaknya turut menyita 26 buah kenderaan dan merampas 200 botol ubat batuk serta pelbagai jenis dadah yang kesemuanya dianggar bernilai lebih RM580,000. Bernama

Rampasan ketum di Perlis meningkat 60 peratus – Polis

Jumlah rampasan daun ketum di Perlis bagi tahun ini setakat Julai meningkat 60 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata sebanyak 98,250.10 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM3.93 juta dirampas bagi tempoh 1 Jan sehingga 31 Julai.

“Peningkatan jumlah rampasan itu adalah hasil usaha berterusan pihak polis melakukan operasi bagi membendung penyeludupan daun ketum di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas program pelupusan barang kes dadah dan ketum siri 2/2020 di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar hari ini.

Sebanyak 30 tan daun ketum dan barang kes melibatkan kes dadah seberat 211.38 gram dianggarkan bernilai RM1.76 juta dilupuskan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

Surina berkata pihak polis akan terus memperhebat operasi bagi membendung penyeludupan ketum dan penyalahgunaan dadah.

Katanya seramai 503 suspek ditangkap dan didakwa di bawah Akta Racun 1952 dan 1,533 suspek ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. Bernama

PGA6 tahan empat lelaki, rampas dadah bernilai RM830,000

MUAR, Batalion ke-6 Pasukan Gerakan Am (PGA6) menahan empat tekong lelaki dan merampas 9.3 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM830,000 menerusi Op Benteng di Jeti Nelayan Parit Jawa di sini, pada 24 Ogos lepas.

Pegawai Pemerintah PGA6 Supt Rozasin Ramlan berkata kesemua suspek berumur 38 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 9 pagi selepas cuba menyeludup keluar dadah berkenaan dari sempadan negara.

Beliau berkata dua daripada yang ditahan merupakan rakyat tempatan iaitu seorang penjawat awam dan penganggur yang bertindak sebagai tekong darat dan siasatan lanjut mendapati dua lagi suspek iaitu warga asing merupakan tekong laut yang datang ke negara ini bagi mengambil bekalan dadah untuk dibawa ke negara asal mereka.

“Anggota PGA6 menahan kesemua suspek di jeti berkenaan dan hasil pemeriksaan menemukan sembilan bungkusan dadah yang diisi di dalam beg berwarna hitam dan tidak sempat dibawa masuk ke dalam bot mereka.

“Hasil soal siasat ke atas dua tekong warga asing itu mendapati mereka telah dua hingga tiga kali melakukan penyeludupan menerusi laluan di sekitar Parit Karang hingga Parit Jawa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rozasin berkata turut dirampas ialah kereta Proton Saga BLM dan sebuah bot jenis gentian kaca sepanjang 6.7 meter yang dianggarkan bernilai RM190,000.

Beliau berkata suspek warga Indonesia itu juga tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan kesemua mereka direman selama 14 hari dari tarikh ditangkap bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sepanjang membuat tugasan Op Benteng sejak 1 April lepas, PGA6 berjaya membuat beberapa siri tangkapan dan rampasan hasil risikan serta maklumat awam termasuk membabitkan tangkapan seramai 11 pendatang tanpa izin warga Indonesia berumur 25 hingga 52 tahun yang keluar dan masuk ke Malaysia menerusi lorong-lorong tikus.

“Dalam tempoh tersebut kita juga telah merampas 14.3 kilogram dadah jenis syabu dipercayai cuba diseludup keluar untuk pasaran di negara jiran melalui jalan laut dengan hasil keseluruhan tangkapan dan rampasan bernilai RM2.324 juta.

“Anggota dan pegawai kami akan terus memantau dan bekerjasama dengan penduduk setempat bersama agensi penguat kuasa lain di bawah Pasukan Petugas Khas (NTF) bagi mengekang penyeludupan pendatang tanpa izin dan aktiviti penyeludupan lain yang menyalahi undang-undang,” katanya. Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker