Pas sedia pecat pemimpin buat maksiat, langgar moral

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, parti itu sedia memecat mana-mana pemimpin dan ahli parti jika terbukti mereka melakukan maksiat dan melanggar moral.

Beliau berkata, parti itu amat mementingkan isu moral dan maksiat dalam kalangan pemimpin serta ahli parti.

“Yang penting moral dulu, kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral, kita pecat dia,” katanya yang dipetik Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di sini.

Abdul Hadi ditanya mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang menyifatkan kisah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, umpama seekor burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dikompaun oleh Kementerian Kesihatan sebanyak RM1,000 atas kesalahan melanggar perintah kuarantin.

Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342), kerajaan mewajibkan semua individu yang baru tiba dari luar negara termasuk warganegara dan warga asing menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Kontroversi membabitkan Mohd Khairuddin mencetuskan perdebatan hangat warganet yang mahu Menteri itu dikenakan tindakan.

Malah, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga sudah diambil keterangan oleh polis di Bukit Aman, berhubung siasatan melanggar arahan kuarantin wajib selepas beliau pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, dalam Pas apa yang paling diutamakan ialah pertimbangan daripada segi maksiat atau tidak.

“Dalam Pas yang pertama adalah dari segi maksiat dulu, yang kedua kalau ada salah laku itu dan kita serah kepada undang-undang,” tambahnya. Edisi9

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker