Lupakan sekolah 1 aliran selagi pemimpin Melayu tak tegas

BANGI, 13 Muharram 1442H, Selasa – Perjuangan sekolah satu aliran tidak akan selesai selagi tiada ketegasan dalam kalangan pemimpin-pemimpin Melayu terhadap agenda itu, apatah lagi hanya mementingkan perkiraan politik.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya meluahkan kekesalannya terhadap kerajaan hari ini yang tidak berani membuka mulut menyatakan pendirian mereka terhadap isu sekolah vernakular.

Beliau berkata, kerajaan sekarang – yang didominasi pemimpin Melayu, Islam – bukanlah ‘perpaduan ummah’ yang diimpikan seperti dahulu.

“Apabila kita ada parti Melayu dan parti Islam yang kita harap-harapkan sebelum ini, selepas menjadi kerajaan pun akhirnya tidak berani buka mulut nyatakan pendirian terhadap sekolah vernakular.



“Apatah lagi parti Melayu, Islam apologetik. Lagilah tidak boleh diharap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Haji Aminuddin berkata, parti peribumi baharu yang berjaya menerajui kerajaan akhirnya menjadi tempang apabila mula menerima kemasukan keahlian bukan peribumi.

“Baru sahaja masuk parti, sudah berani bidas sini sana yang akhirnya menyebabkan parti itu tidak berani mengeluarkan pendirian rasmi.

“Kenyataan YB Santhara, juga ahli bukan peribumi pertama Bersatu yang membidas Ketua Pemudanya yang lantang mahu kerajaan mansuhkan sekolah vernakular telah membuktikan parti itu akan menghadapi pelbagai dilema dalaman apabila soal perjuangan Melayu, Islam dan Bumiputera kelak,” katanya.



Beliau percaya kenyataan Santhara itu akan membuka ruang kepada ahli bukan peribumi lain yang bakal menyertai Bersatu nanti berani membidas dan menuntut sesuatu daripada parti.

“Maka tinggallah parti-parti Melayu yang tidak ada wakil dalam Parlimen seperti BERJASA dan PUTRA yang secara rasminya kekal dengan pendirian parti untuk mendesak kerajaan memansuhkan sekolah vernakular.

“Ditambah lagi dengan suara-suara NGO Melayu yang kuat tetapi terabai kerana rasa selesa mereka pasti tak akan undi PH,” katanya.

Haji Aminuddin berkata, akar umbi parti-parti Melayu juga terpaksa akur dengan pendirian parti masing-masing walaupun ramai yang mahu sistem sekolah satu aliran.



“Kita punyai asas yang kuat untuk mansuhkan sekolah vernakular di mana itulah aspirasi Perlembagaan Persekutuan, Penyata Razak 1956, Akta Pendidikan 1961 dan sebagainya yang mahukan satu sistem pendidikan kebangsaan.

“Ditambah lagi dengan pemansuhan sekolah aliran Melayu satu ketika dahulu bagi meraikan semua kaum atas semangat integrasi nasional, pasti sangat mengecewakan kita apabila melihat gelagat pemimpin kita sekarang,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker