Lantikan KP SPRM perlu majoriti 2/3 Parlimen

Pelantikan ketua pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan datang perlu mendapat sokongan majoriti 2/3 di Parlimen berdasarkan perlembagaan undang-undang.

Pada sesi Dialog@Gegau di radio Melaka hari ini KP SPRM Azam Baki berkata, dalam mesyuarat khas Kabinet mengenai rasuah yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini juga bersetuju penamatan perkhidmatan KP SPRM perlu melalui 1 tribunal khas.

“Maksudnya, perkhidmatan KP SPRM tidak boleh ditamatkan begitu sahaja oleh Agong atas nasihat perdana menteri.

“Kita nampak sekarang SPRM disokong penuh oleh kerajaan sedia ada untuk kita laksanakan pencegahan rasuah secara berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah yang dipengerusikan Muhyiddin bersetuju untuk mengasingkan pengambilan dan penamatan kakitangan SPRM di bawah seliaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM.

“Dengan memberi 1 kebebasan kepada kami untuk melantik dan menamatkan kakitangan melalui suruhanjaya itu sendiri adalah lebih baik dan ini akan menunjukkan ketelusan kerajaan itu sendiri serta kebebasan SPRM dalam melakukan tindakan,” katanya.

Menyifatkan jenayah rasuah ketika ini semakin rumit, Azam berkata, pada era 2015 hingga 2020, kes rasuah banyak tertumpu kepada isu perolehan kerajaan yang dikenalpasti menjadi punca kehilangan sumber kerajaan dalam jumlah besar.

“Dalam isu perolehan, hasil siasatan kami mendapati pegawai kerajaan yang bertugas di agensi kerajaan banyak menipu dalam hal perolehan kerajaan sehingga menyebabkan kehilangan duit yang banyak begitu saja.

“Contoh 1 kes di Sabah suatu ketika dulu, kerajaan keluarkan projek itu pada harga RM1.5 bilion untuk negeri berkenaan bagi projek naik taraf air dan maklumat diterima hanya separuh sahaja nilai kos sebenar. Lain-lain amaun hilang begitu sahaja akibat perbuatan rasuah,” katanya.

Justeru, beliau berkata tugas SPRM ketika ini bukan lagi hanya tertumpu kepada penguatkuasaan tetapi kesedaran dan memaklumkan setiap tindakan yang dilakukan kepada masyarakat awam.

“Dalam setiap kes yang disiasat, kita amalkan ketelusan, perkara yang sudah disiasat kami akan maklumkan kepada masyarakat supaya mereka tahu mengenai kes itu.

“Sekarang SPRM lebih menumpukan kes yang mempunyai ‘minat awam’ dan berprofil tinggi kerana sebab mereka inilah banyak ketirisan dan kehilangan duit berlaku,” katanya. FMT

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker