Langkah politik disusun ikut panduan Nabi

KUALA LUMPUR: Langkah diambil dalam menggerakkan perubahan politik negara yang berlaku mutakhir ini adalah menerusi hikmah daripada petunjuk Allah S.W.T sebagaimana dilaksanakan Nabi Muhammad S.A.W.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengupas perkara tersebut pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini hari ini.

Menurutnya, petunjuk tersebut mengajar Nabi di mana untuk mewujudkan sebuah negara masyarakat majmuk, mestilah kepimpinan negara dalam kalangan yang paling berpengaruh dalam masyarakatnya.

Nabi jelasnya, memulakan dengan masyarakat Arab terlebih dahulu menyatukan orang-orang Arab Quraisy dari Makkah yang membentuk kelompok Muhajirin dengan Aus dan Khazraj di Madinah sebagai titik pertemuan dari Hijrah.



Mereka itu jelas beliau, dalam kalangan yang yakin dan percaya kemampuan Islam membawa mesej tanpa paksaan dalam agama dan adil untuk semua, diikuti kemudian kalangan bukan-Islam yang tidak ekstrem.

“Kebetulannya, Madinah mengandungi masyarakat majmuk. Orang-orang Yahudi Bani Qaynuqa’, Bani Nadhir, Bani Khuraizah. Di selatannya Kristian Najran, di samping terdapat orang Arab Badawi. Itu ada.

“Mereka yang tidak ekstrem ini sudah bosan dengan peperangan yang berlaku, perpecahan yang tajam antara satu sama lain, antara mazhab agama, antara kabilah. Mereka mahu menyaksikan satu perubahan.

“Walaupun orang Islam pada awalnya adalah minoriti, bukan-Islam adalah majoriti. Tetapi orang Islam bersatu, mereka punya kekuatan identiti, manusia yang ada syakhsiyah, integriti yang tinggi dengan iman dan akhlak yang mulia. Dihormati oleh kalangan bukan-Islam yang bersih naluri atau fitrahnya.



“Setelah ada penerimaan kalangan bukan-Islam, dimeteraikan Piagam Madinah yang terkenal. Satu kontrak sosial yang paling awal dalam sejarah manusia, menyatukan masyarakat majmuk,” ceritanya.

Lanjut beliau, Masjid Nabawi bukan sahaja menjadi rumah ibadat, dalam masa yang sama sebagai pusat pentadbiran, selain dibina pasar Madinah, bahkan nama Madinah itu adalah perubahan nama daripada Yathrib.

Nama Madinah terang Tuan Guru, sinonim dengan mewujudkan masyarakat Madani yang bertamadun dengan makna Hadhari dan menghadirkan manusia saling berkeperluan antara satu sama lain serta kemajuan dalam segala bidang.

Semua itu hurainya, menyebabkan berlaku muamalat yakni bergaul antara orang Islam dan bukan-Islam hingga ramai kalangan bukan-Islam tertarik masuk Islam tanpa dipaksaan kerana melihat perubahan yang sangat positif.



Dalam masa yang sama katanya, terdapat kalangan bukan-Islam itu juga redha berada di bawah pemerintahan Islam, hinggalah setelah Nabi S.A.W wafat, para Khulafa Ar-Rasyidin menghadapi pula tentangan kuasa besar dunia Parsi dan Rom.

“Dua kuasa besar ini jatuh dan tumbang. Orang Islam tak buat bala tenteranya, puncanya ialah kerana dua kuasa besar tidak didukung oleh rakyat mereka sendiri, kerajaannya lemah. Islam melakukan futuhat, perkataan futuhat berbeza dengan imperialisma, kolonialisma.

“Futuhat dengan makna pembebasan manusia, daripada memperhambakan sesama manusia dalam keadaan tidak ada paksaan dalam agama,” kupasnya Islam setelah itu berkembang dengan ilmu termasuk ilmu asing yang diislamkan.

Jelas beliau, pendekatan itulah yang diambil dalam politik Malaysia mutakhir apabila umat Islam baik dalam kerajaan mahupun pembangkang disatukan bermula PAS dan Umno lalu diwujudkan Muafakat Nasional.



Dengan Muafakat Nasional katanya, tidak boleh membuat perubahan, tetapi mesti diajak mereka yang lain dan mahu kepada perubahan, lalu digabungkan dengan rakan-rakan dalam kerajaan, termasuk kalangan bukan-Islam yang tidak ekstrem.

“Dan untuk mewujudkan negara masyarakat majmuk, tidak boleh menafikan kaum, bangsa dan agama yang ada di sini. Maka diwujudkan Perikatan Nasional,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2020

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker