Khairul Azam terima surat tunjuk sebab dari Lembaga Tatatertib Peguam

Akibat kelantangannya membantah isu pemasangan tanglung, kewujudan sekolah vernakular, kewarganegaraan bukan Melayu dan tidak ada istilah Cina serta India menyebabkan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Tatatertib Peguam.

Ketika mendedahkan perkara itu, peguam yang juga pimpinan Parti Putra itu menerima dua surat tunjuk sebab itu hari ini selepas dua individu – masing-masing seorang Cina dan India membuat aduan kepada lembaga berkenaan.

“Hari ini, saya menerima dua surat tunjuk sebab daripada Lembaga Tatatertib Peguam berkaitan aduan daripada seorang Cina dan seorang India terhadap saya.

“Aduannya mengenai beberapa posting Facebook dan Twitter saya berkaitan isu tanglung, isu sekolah vernakular, isu kewarganegaraan bukan Melayu dan isu tiada istilah Cina dan India dalam Perlembagaan Negara,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.



Mohd Khairul Azam berkata, tuduhan itu menyatakan status Facebook beliau telah memalukan profesion guaman dan pengadu mahu Lembaga Tatatertib Peguam menggantung atau menarik balik lesen guamannya.

Katanya, beliau akan melawan habis-habisan tuduhan itu demi untuk mempertahankan haknya sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai hak bersuara dalam apa juga keadaan tanpa melanggar undang-undang.

“Sebagai peguam, saya akan mempertahankan hak saya dan seperti biasa, saya akan lawan habis-habisan.

“Sebelum saya terlibat dalam politik dan dalam memperjuangkan hak orang-orang Melayu, saya telah lama ‘berumah di tepi pantai’. Maknanya saya tidak takut kalau ombak melanda.



“Memang saya sudah bersedia menghadapi tsunami pun,” katanya.

Mohd Khairul Azam antara peguam dan rakyat Malaysia yang ke hadapan dalam mempertahankan Perlembagaan Negara dari dipermainkan sewenang-wenangnya oleh bukan Melayu.

Justeru, beliau bangkit membawa isu sekolah vernakular ke mahkamah dan menghantar surat kepada seorang pengetua sekolah memaklumkan, beliau menerima aduan dari ibu bapa yang tidak selesa dengan hiasan berlebihan tanglung sempena Tahun Baru Cina. – MalaysiaGazette



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker