Avalon Fresh pilih Malaysia sebagai hab eksport Asia Tenggara

Avalon Fresh, penanam organik dari Mexico, sedang membuat penerokaan pertama di luar Amerika Syarikat (AS) dengan menjadikan Malaysia sebagai hab eksport di Asia Tenggara berikutan kedudukannya yang agak strategik.

Pengarah Operasi Antarabangsa Patricia Vazquez Marin berkata melalui hab ini, Avalon Fresh merancang untuk mengeksport lebih daripada 20 jenis produk organik ke Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Timur Tengah.

“Malaysia merupakan lokasi strategik bagi hab Asia Tenggara untuk jenama Avalon Fresh. Ia memiliki kelebihan seperti kerajaan yang mesra pelabur antarabangsa, ekonomi yang stabil yang didorong oleh kuasa membeli yang tinggi, kualiti hidup yang bermutu tetapi pada kadar yang berpatutan termasuk bekalan bakat mahir serta banyak lagi.

“Sebelum ini, 100 peratus daripada hasil organik Avalon Fresh dieksport bagi memenuhi permintaan di AS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, benih organik Avalon Fresh sampai ke Malaysia pada 22 Ogos 2020.

Menurut Vazquez lagi, pasukannya telah berunding dengan beberapa pengimport serta pengedar terkemuka di rantau ini sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan mereka.

Avalon Fresh juga telah bekerja rapat dengan Instituto Halal Junta Islamica, sebuah badan pentadbiran syariah yang menentukan status pensijilan halal yang diperakui di Sepanyol dan Mexico.

“Institut halal tersebut telah mengadakan rundingan dengan Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menerima pensijilan halal JAKIM bagi barisan produknya yang luas, yang diterima di seluruh dunia.

“Kami sudah pun membangunkan Avalon Fresh sebagai pembekal pertanian yang bertanggungjawab, konvensional, organik dan sebagai sayur-sayuran segar serta produk makanan yang halal di Amerika,” katanya.

Beliau menambah produk organik syarikat itu hanya ditanam di Mexico untuk memastikan pematuhan kepada standard pertanian organik yang berkualiti tinggi.

Ditubuhkan pada 2013 oleh Alejandro Vazquez Alcazar, Avalon Fresh telah berkembang menjadi pembekal utama dalam produk segar, sihat dan organik di AS, ia mengeksport 4,276 tan produk organik pada tahun lepas dan memenangi Anugerah Kebangsaan untuk Pengeksport Terbaik oleh Majlis Perniagaan Mexico bagi Perdagangan Asing, Pelaburan dan Teknologi pada tahun lepas.
BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker