AirAsia kenakan caj RM20, RM30 untuk daftar masuk di kaunter

Share

AirAsia mengenakan caj daftar masuk melalui kaunter di beberapa lapangan terbang terpilih sebanyak RM20 seorang untuk penerbangan domestik dan RM30 untuk penerbangan antarabangsa.

Syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataannya berkata, caj tersebut dikenakan di kaunter lapangan terbang Malaysia, Vietnam, Brunei, Kemboja, Laoes serta Taipei, Kaohsiung dan Honolulu.

Tiada bayaran dikenakan bagi penggunaan kiosk daftar masuk tanpa sentuhan dan aplikasi mudah alih atau laman web AirAsia.


Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia Javed Malik berkata, caj itu adalah untuk menggalakkan penggunaan teknologi digital yang mana syarikat penerbangan tersebut telah membelanjakan kos yang besar untuk meningkatkan kecekapan operasi serta kemudahan pengguna.

“Berikutan pandemik Covid-19, kemudahan daftar masuk sendiri ini menjadi amat penting bagi mengurangkan kontak fizikal antara para tetamu dan kakitangan kami.

“Dalam dua bulan lepas, beribu-ribu tetamu yang melakukan perjalanan penting telah menggunakan prosedur perjalanan tanpa sentuhan kami yang merupakan langkah keselamatan dan sekuriti tambahan untuk kesejahteraan dan keselamatan para tetamu dan kakitangan kami,” katanya.


Tambah Javed, respon yang diterima bagi penggunaan perkhidmatan daftar masuk sendiri adalah baik setakat ini.

“Kami juga merupakan salah satu syarikat penerbangan pertama yang membolehkan laporan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) dipaparkan di laman web AirAsia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.

“Para tetamu boleh memuat naik laporan PCR mereka atau dokumen perjalanan terpilih dan mendaftar masuk sebelum tiba di lapangan terbang untuk pengalaman perjalanan tanpa sentuhan yang lebih lancar,” katanya lagi.


Bagaimanapun, pengecualian caj daftar masuk melalui kaunter akan diberikan kepada tetamu kurang mobiliti, Premium Flex atau Premium Flatbed, tetamu yang terjejas oleh gangguan penerbangan atau gangguan kiosk di lapangan terbang serta beberapa pengecualian lain. – MalaysiaGazette

Leave a Reply