Kewajaran lanjutan tempoh PKPP

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan wabak penyakit koronavirus (Covid-19) sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1 atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu) yang menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan di seluruh dunia dengan 18,449 kematian antara Januari 2009 dan Ogos 2010.

Hakikatnya, penularan pandemik Covid-19 menimbulkan keresahan di seluruh dunia. Malahan pandemik yang melanda dunia ini telah mengubah landskap kehidupan kepada normal baharu sehingga menyebabkan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia mengambil langkah luar daripada kebiasaan bagi memastikan mereka dapat bebas daripada pandemik tersebut.

Malaysia misalnya telah memperkenalkan kawalan pergerakan mengikut acuan tersendiri dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak itu. Kerajaan kemudian mula melonggarkan PKP pada 4 Mei dengan mengumumkan PKP Bersyarat (PKPB) yang kemudian beralih ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu sebagai sebahagian daripada strategi keluar daripada PKP yang kini memasuki fasa pemulihan.

Di Malaysia sehingga 1 September, sejumlah 9,340 kes jangkitan Covid-19 direkodkan dengan 127 kematian. Berdasarkan kluster utama, perkembangan terkini menunjukkan Kluster Tawar mencatatkan 65 kes mengatasi Kluster Sivagangga yang merekodkan 47 kes manakala Kluster Alam pula kian meningkat jumlahnya dengan tujuh kes direkodkan.

Terkini, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah telah dijalankan membabitkan 22,360 isi rumah mulai 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan diumumkan.

Berdasarkan graf perkembangan harian Covid-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa Malaysia masih dalam kategori ‘perjuangan’ iaitu belum menang atau kalah pada wabak berkenaan.

Justeru, tempoh PKPP dilanjutkan memang telah dijangka berikutan perkembangan terkini wabak Covid-19 di negara ini.

Malaysia sudah pun memasuki fasa keenam pelaksanaan PKP. Tidak dinafikan bahawa kerajaan melalui KKM sudah menjalankan tugas dengan baik dalam menangani penularan wabak Covid-19. Namun, penularan wabak berbahaya ini di Malaysia belum Merujuk kes import.

Sehingga 27 Ogos, daripada 106,793 pengembara tiba di Malaysia, sebanyak 904 kes dikesan positif Covid-19 (kadar positiviti sebanyak 0.85 peratus). Malahan, selepas kelonggaran demi kelonggaran diberikan masih wujud kluster baharu seperti Kluster Sivagangga, Kluster Maju dan Kluster Tawar. Kluster Tawar misalnya, dalam tempoh 14 hari sahaja sejak kes pertama dilaporkan pada 12 Ogos, sebanyak 72 kes positif telah dikesan bagi kluster ini (kadar positif adalah sebanyak 1.61 peratus) sehingga melibatkan tiga generasi.

Semua perkembangan yang berlaku ini ditambah dengan kewujudan kluster baharu dan penemuan strain virus yang mengalami mutasi, D614G, peningkatan kes import serta pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, semua ini sudah cukup mencemaskan dan menimbulkan kebimbangan dalam negara.

Meneliti dan mengambil kira kesemua perkembangan tersebut, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pengesyoran KKM pada perutusan khas bertarikh 28 Ogos telah melanjutkan tempoh PKPP yang akan berakhir pada 31 Ogos kepada 31 Disember supaya penularan Covid-19 terkawal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba menyatakan langkah itu perlu berasaskan kepada jangkaan WHO bahawa pandemik ini boleh berlarutan tidak kurang dua tahun yang memerlukan Malaysia bersiapsiaga dan membuat persiapan secukupnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menyifatkan penguatkuasaan PKP dengan pelanjutan tempoh PKPP adalah sesuatu yang wajar kerana negara belum mempunyai keupayaan, iaitu ketiadaan vaksin Covid-19 atau ubat untuk merawat pesakit yang dijangkiti.

Malahan, pakar Kesihatan Awam turut menyarankan kerajaan melanjutkan PKPP. Menurut Pakar Epidemiologi, Prof Madya Dr Malina Osman dari Universiti Putra Malaysia (UPM), PKPP hanya boleh dilonggar atau ditamatkan apabila tiada lagi penularan dalam negara untuk tempoh 42 hari berturut-turut atau tiga kali kitaran inkubasi virus berkenaan, sesuatu yang masih belum dicapai kerana saban hari kes baru masih direkodkan.

Pematuhan

Perkara ini turut disokong oleh seorang lagi Pakar Epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba dari Universiti Malaya (UM) yang menyatakan Covid-19 masih belum berjaya dikawal sepenuhnya.

Oleh itu, pelanjutan tempoh PKPP akan memberi ruang kepada kerajaan memerangi penularan Covid-19 secara habis-habisan sebelum dapat dinilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitan Covid-19. Tindakan ini juga dapat membantu KKM untuk mempunyai kapasiti sama ada di lapangan atau hospital untuk terus mengenalpasti, menyaring, mengasingkan dan merawat kes Covid-19.

Tambahan pula, walaupun PKP sudah dilaksanakan sejak ia dikuatkuasa pada 18 Mac lalu, tahap pematuhan rakyat setakat ini adalah 97 peratus sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat belum memahami dan mengambil semua langkah pencegahan yang perlu untuk menghentikan penyebaran Covid-19 sedangkan untuk menghentikan penyebaran penyakit ini, menurut WHO, hampir semua lapisan masyarakat harus mengamalkan langkah-langkah yang disarankan dan bertanggungjawab seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakkan fizikal.

Bayangkan jika PKPP ditamatkan sepenuhnya pada 31 Ogos ini dengan jumlah kes yang masih meningkat dan kadar pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak menyeluruh, pastinya suatu tindakan yang mengundang risiko dan padah!

Semua orang mahu ‘bebas’ dan kembali ke norma kehidupan biasa secepat mungkin, tetapi jika masih ada yang berdegil dengan tidak mematuhi arahan PKPP sepenuhnya, tidak mustahil kita mungkin melalui beberapa lagi fasa PKP.

Malah, undian yang dilakukan oleh akhbar Harian Metro menunjukkan rakyat turut menyokong pelanjutan tempoh PKPP. Undian sama ada wajarkah PKPP dilanjutkan selepas berakhir 31 Ogos ini dibuat menerusi media sosial dengan 13,957 penyertaan di Facebook dan 1,443 di Twitter. Di Facebook, 12,013 membuat undian wajar disambung PKPP sementara melalui undian di Twitter pula 81.3 peratus bersetuju ia disambung.

Diakui PKPP tidak boleh menghapuskan Covid-19 sepenuhnya namun, tiada gunanya PKPP ditamatkan dengan tergesa-gesa untuk tempoh seketika tetapi dilaksanakan semula akibat penularan dan peningkatan kes.

Rumusannya, bermula 18 Mac, PKP terbukti dapat mengurangkan jumlah jangkitan dalam masyarakat. Oleh itu, PKPP perlu dilanjutkan secara bertahap agar Malaysia dapat memulakan normal baru dan pada masa sama terus memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Terimalah hakikat bahawa PKPP hanya boleh ditamatkan jika indikasi utama iaitu jumlah kes adalah rendah dan kebolehjangkitan kes dalam komuniti tidak berlaku!

Sehingga itu, seluruh masyarakat diseru memberikan kerjasama dan mematuhi sepenuhnya SOP yang disarankan kerana matlamat akhir yang ingin dicapai oleh semua pihak adalah menangani wabak Covid-19 dengan berkesan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker