‘Kerajaan berhak saman penceroboh’

SHAH ALAM – Seramai 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri di sekitar Raub, Pahang tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mempertahankan tanah yang diceroboh bahkan mereka perlu akur untuk keluar daripada tanah berkenaan.

Peguam, Adnan Seman berkata, kedudukan undang-undang berkaitan tanah itu jelas termaktub dalam Seksyen 48 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 yang melarang pendudukan tanah secara haram.

“Dari segi undang-undang, kerajaan negeri wajib untuk mengusir mereka daripada tanah haram yang diceroboh sebab mereka tidak pernah dapat apa-apa lesen daripada kerajaan termasuk lesen pendudukan sementara (TOL).

“Mereka tidak ada apa-apa hak ke atas tanah itu kerana ia milik kerajaan malahan mereka juga tidak layak untuk dapat apa-apa ganti rugi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.



Kesemua 111 pekebun durian itu sebelum ini dilaporkan berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub pada 28 Ogos lalu.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan terbabit.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.



Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Mengulas lanjut, Adnan memberitahu, dari sudut undang-undang, tidak ada ruang untuk peneroka melawan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri.

“Sesiapa pun ceroboh tanah kerajaan, mereka boleh diusir dan walaupun mencabar notis pengusiran yang kerajaan negeri Pahang keluarkan tetapi tindakan mencabar notis itu lebih kepada sudut teknikal sebenarnya.

“Tetapi dari segi undang-undang tidak ada ruang pun untuk mereka lawan. Akhirnya keputusan muktamad bergantung kepada budi bicara kerajaan negeri,” katanya.



Adnan menjelaskan, kesemua pekebun durian itu juga boleh disaman ekoran menceroboh tanah kerajaan yang menyebabkan kerugian di pihak kerajaan kerana aktiviti penebangan balak dan penggondolan hutan simpan.

“Mereka boleh didakwa kerana perbuatan menceroboh tanah kerajaan adalah satu kesalahan di bawah undang-undang.

“Bagi saya, tindakan yang diambil kerajaan negeri Pahang ini sangat tepat.

“Bukan sahaja di Pahang, tapi semua negeri lain pun kena kuatkuasakan undang-undang walaupun ada pihak kata tindakan itu agak lambat sebab pekebun ceroboh tanah dah lama dan pokok pun dah berbuah.



“Lambat atau cepat bukan isu. Isunya ialah tindakan kerajaan memang wajar untuk hentikan aktiviti ceroboh tanah kerajaan sebab kalau tidak dihentikan akan ada orang yang ceroboh guna modus operandi yang sama dan akhirnya tanah kerajaan semakin kecil dan tidak adil kepada orang lain,” katanya.

Seorang lagi peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz menegaskan, jika status pekebun-pekebun tersebut adalah sebagai setinggan (menceroboh secara haram), maka agak sukar bagi mereka untuk mendapatkan sebarang ganti rugi atau hak terhadap tanah tersebut.

“Jika terdapat sebarang kebenaran atau lesen diberikan pula sebelum ini, ia masih di bawah budi bicara pihak berkuasa dan kerajaan negeri sama ada untuk membenarkan mereka kekal di situ atau tidak.

“Ia mungkin kedengaran sedikit kasar tetapi pihak berkuasa dan kerajaan (atau pemilik tanah) mempunyai kuasa untuk memutuskan tentang apa yang mereka mahu buat terhadap tanah tersebut dan sebarang pengusiran atau pengosongan perlu dibuat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.



Bagaimanapun, katanya, penyelesaian terhadap penerokaan di tanah milik kerajaan itu bergantung kepada budi bicara pihak berkuasa sama ada mereka ingin berbincang dan mencari penyelesaian bersama di mana pekebun-pekebun itu diberikan kebenaran atau lesen untuk kekal di tanah tersebut atau sebaliknya.

“Saya beranggapan ia tidaklah begitu mudah atau straight forward seperti yang disangkakan pihak umum kerana masih terdapat peruntukan undang-undang yang perlu diperhalusi.

“Ia akan memakan masa dan sebarang penyelesaian hendaklah dibuat untuk jangka masa panjang dan bukan sekadar penyelesaian singkat (di mana isu-isu lain mungkin berbangkit pula di masa hadapan),” katanya.

peguam Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua pekebun terbabit tidak mempunyai hak ke atas tanah yang diceroboh mengikut Seksyen 48 KTN 1965.



“Semakan ke atas notis pengosongan tanah yang dibuat mereka mungkin sekadar membeli masa untuk tujuan rundingan luar dan tekanan kepada agensi kerajaan.

“Mahkamah Tinggi mungkin membenarkan Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan adalah perkara biasa kerana penangguhan hanya sementara bagi memberi ruang untuk meneliti hujahan pihak yang menuntut,” katanya.

Menurut beliau, dalam kes itu berkemungkinan pekebun menyatakan ada isu yang perlu dibicarakan berkenaan permohonan terbabit.

Berikutan itu, Hishamuddin berkata, kerajaan perlu tegas meneruskan tindakan undang-undang di mahkamah melalui pertuduhan melanggar notis yang diberikan.

“Jangan ada double standard. Kuatkuasakan undang-undang.

“Pekebun pula, mungkin selepas mendapatkan perintah penangguhan akan menyaman pihak kerajaan untuk menegakkan dakwaan atas alasan mereka mempunyai hak,” katanya.

Namun, kata beliau, sekiranya terdapat rundingan mengenai hak tanah dan hasil kepada pihak pekebun terbabit, ia terpulang kepada kerajaan.

“Sekiranya selepas hukuman dijatuhkan atau keputusan kes diputuskan, apa-apa hasil mungkin akan dirampas atau dilupuskan kerana melibatkan aktiviti yang bercanggah dan berlawanan dengan Kanun Tanah Negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker