COVID-19: Kluster Bunga dikesan

Satu kluster baharu jangkitan COVID-19 dikenali sebagai Kluster Bunga dikenal pasti hari ini, membabitkan kru sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak empat daripada 34 kru kapal itu disahkan positif COVID-19 dalam kluster terpencil itu setakat ini, enam lagi negatif dan baki 24 lagi sedang menunggu keputusan ujian saringan.

Jelasnya, kru kapal itu berkemungkinan mendapat jangkitan di luar negara berdasarkan sejarah perjalanan kapal berkenaan dari Pelabuhan Singapura.

“Kes positif COVID-19 bagi kluster ini membabitkan dua rakyat Malaysia dan dua warga asing. Keempat-empat kes positif ini tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor.

“Setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, justeru tidak membawa risiko penularan jangkitan dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil di sebuah kapal.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal itu. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, dua daripada enam kes baharu COVID-19 yang direkodkan hari ini adalah satu bagi Kluster Tawar dan satu dalam Kluster Telaga, dengan kedua-dua kes dikesan di Kedah.

Ia menjadikan keseluruhan kes positif COVID-19 Kluster Tawar kepada 74 daripada 16,462 yang disaring, iaitu 15,917 di Kedah (64 positif, 12,597 negatif, 3,257 tunggu keputusan); 534 di Pulau Pinang (11 positif, 523 negatif) dan 11 di Perak (semua negatif).

“Satu kes baharu (kes ke-9340) bagi Kluster Telaga di Kedah pula mula dilaporkan pada 30 Ogos, dengan dua kes positif membabitkan kakitangan hospital (kes ke-9284 iaitu kes indeks dan kes ke-9334).

“Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat dua lagi kes positif COVID-19 yang dilaporkan sebelum ini (kes ke-9306 dan kes ke-9291), didapati juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks.

“Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak lima kes. Sehingga 31 Ogos jam 12 tengah hari, seramai 735 orang telah disaring dalam kluster ini dengan lima kes positif COVID-19 dan 730 individu negatif,” katanya dan memaklumkan pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster itu. BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker