Wee: Loke elak tender terbuka aneh lagi ganjil

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata adalah aneh apabila pendahulunya Anthony Loke tidak membuka semula tender bagi projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2), meskipun tahu kosnya lebih murah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wee berkata Loke memberitahu kabinet pada 19 September 2018 bahawa kos projek KVDT2 mampu dikurangkan antara RM3 bilion sehingga RM3 bilion sekiranya ditender semula.

“Lebih teruk lagi, selepas 10 bulan dari tarikh beliau memaklumkan kepada kabinet, projek KVDT2 pula ditawarkan semula secara rundingan terus pada 2 Julai 2019 dengan harga RM4.475 bilion.

“Ini memang aneh lagi ganjil?” soal Wee dalam satu kenyataan hari ini.

KVDT2 merupakan projek melibatkan kos paling tinggi yang dianugerahkan kerajaan Pakatan Harapan tanpa melalui proses tender terbuka.

Projek ini pada mulanya ditandatangani oleh menteri pengangkutan, yang juga Presiden MCA Liow Tiong Lai pada 4 April 2018 iaitu sehari sebelum Parlimen dibubarkan.

Syarikat usaha sama Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd memenangi projek bernilai RM5.265 bilion itu.

Menjelang 2019, kerajaan PH berjaya menurunkan kos kepada RM4.475 bilion.

Awal hari ini, Loke berkata keputusan membuka semula tender projek KVDT 2 menunjukkan Wee bersetuju bahawa projek RM5.265 bilion yang diluluskan bekas presiden MCA itu terlalu mahal.

Loke juga menegaskan bahawa dia memberitahu kabinet bahawa proses tender terbuka akan membolehkan kos projek berkenaan menjadi antara RM3 bilion hingga RM3.5 bilion.

Bagaimanapun kabinet pada masa itu memutuskan untuk tidak berbuat demikian kerana berdepan risiko undang-undang dan tidak mahu projek berkenaan tertangguh.

Wee bagaimanapun tidak mengulas mengenai penjelasan berkenaan.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini mengeluarkan senarai 101 projek rundingan terus yang didakwa diberikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pembangkang berkata, sebahagian besar daripada projek berkenaan diwarisi daripada zaman BN.

Pemimpin kerajaan mendakwa PH memungkiri janji dalam manifesto pilihan rayanya untuk memansuhkan sistem rundingan terus.

Bagaimanapun pemimpin PH berkata Janji 23 dalam manifesto pilihan rayanya hanya mengatakan sistem tender terbuka akan digunakan secara meluas dan tidak menyebut mengenai pemansuhan sisten rundingan terus.

Untuk rekod pada 22 Mei 2018, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yang baru dilantik ketika itu berkata kerajaan PH tidak akan lagi menggunakan sistem rundingan terus dan tender terhad bagi projek-projek kerajaan.

Kata Azmin, janji dalam manifeso Pakatan Harapan telah dibincangkan dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Azmin kini merupakan menteri kerajaan Perikatan Nasional yang ditubuhkan selepas krisis politik Februari lalu. Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker