Tiada pertuduhan dibuat dalam kes gangguan seksual pelajar UM

Polis berkata timbalan pendakwa raya (DPP) memutuskan tiada pertuduhan dibuat dalam kes gangguan seksual melibatkan seorang pensyarah kanan di univeristi awam ke atas seorang pelajar perempuan di universiti itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, suspek dikenakan tindakan dalaman oleh universiti terbabit.

“Mangsa telah dimaklumkan keputusan kes itu sebaik sahaja mendapat makluman serta arahan daripada pihak Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum itu, Zairulnizam berkata, pelajar berusia 23 tahun dari sebuah univeristi awam di Kuala Lumpur itu membuat laporan polis pada 15 Julai lepas.

Beliau berkata, pada 1 Julai, pelajar itu membuat aduan kepada pihak universiti awam berkenaan untuk diambil tindakan.

“Pihak polis Bahagian D11 JSJ IPK KL menjalankan siasatan kes ini di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Setelah siasatan selesai pada 13 Ogos lalu, kertas siasatan dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya, Jabatan Peguam Negara, Wilayah Persekutuan,” katanya.

Zairulnizam berkata, polis tidak menyembunyikan apa-apa berkait kes itu dan menjalankan siasatan dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan serta melanggar undang-undang.

Katanya, mereka akan dikenakan tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297-9222 atau mana-mana Balai Polis berdekatan,” katanya. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker