Pemandu kenderaan diberi masa perbaharui lesen sehingga 30 September

Share

Pengecualian pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan selepas 31 Ogos ini.

Ini kerana, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semua kaunter JPJ telah dibuka sepenuhnya seperti biasa, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

”Memandangkan pelanjutan PKP selepas 31 Ogos 2020 sebagaimana Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Ogos 2020, maka pengecualian ini akan ditamatkan melalui satu instrumen pembatalan yang khusus,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Berikutan itu, orang ramai yang memiliki LMM dan LKM yang tamat tempoh masih diberi masa untuk memperbaharuinya dalam tempoh 30 hari iaitu sehingga 30 September ini.

Ka Siong berkata, pembatalan pengecualian itu selaras dengan kuasa Menteri di bawah seksyen 66(1)(x) dan 127 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pengecualian) 2020.

Semasa pelaksanaan PKP, Kementerian Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan pengecualian pembaharuan LMM dan Lesen Kenderaan Motor LKM dalam tempoh PKP kepada orang ramai bertujuan supaya mengelakkan kesesakan orang ramai di kaunter-kaunter agensi-agensi berkaitan.


Orang ramai dibenarkan memandu dan menggunakan kenderaan masingmasing semasa PKP dilaksanakan walaupun LMM atau LKM mereka telah tamat tempoh, dengan syarat kenderaan tersebut mempunyai perlindungan insurans yang sah dan masih berkuatkuasa.

Buat masa ini, pengecualian bagi pembaharuan LMM dan LKM masih berkuatkuasa selagi Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 masih dikuatkuasakan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply