Pengembara dari Indonesia, Mesir, Singapura paling ramai positif

SERAMAI 106,793 pengembara tiba di Malaysia dengan 904 kes dikesan positif Covid-19 (kadar positif sebanyak 0.85 peratus), sehingga semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 904 kes positif terbabit, tiga negara mencatatkan kes tertinggi adalah Indonesia sebanyak 295 kes (32.6 peratus), diikuti Mesir 93 kes (10.3 peratus) dan Singapura 70 kes (7.7 peratus).

Beliau berkata, Malaysia akan terus memperketatkan aktiviti kesihatan awam dijalankan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Negara bagi memastikan jangkitan Covid-19 dari luar negara dapat disekat.

“Tren kejadian jangkitan Covid-19 di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa dipantau rapi bagi memastikan tindakan kawalan bagi mencegah penularan jangkitan dalam negara diambil segera.

“Kawalan di PMA Negara dipertingkatkan apabial semua pengembara yang tiba akan melalui proses saringan kesihatan, pengambilan swab bagi ujian Covid-19, memuat turun aplikasi MySejahtera dan menjalani kuarantin di stesen kuarantin selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan Covid-19 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara, masyarakat Malaysia perlu bersama-sama memainkan peranan masing-masing kerana ini adalah tanggungjawab sosial setiap individu.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa masyarakat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan setiap masa.

“Mengambil kira sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2020, cuti hujung minggu ini adalah panjang. Justeru, masyarakat disarankan untuk mengelakkan sebarang perhimpunan besar-besaran dan mengikut norma baharu.

“KKM ingin menekankan pemakaian pelitup muka (facemask) diwajibkan di tempat sesak dan sempit oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020, terutama sekiranya penjarakan fizikal sukar diamalkan,” katanya. HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker