Muafakat Nasional untuk semua kaum, kata Shahril Hamdan kepada Ku Li

Share

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyanggah kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah yang menganggap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak layak berada dalam Muafakat Nasional kerana membuka keahlian kepada bukan Melayu.

Dalam satu kenyataan menerusi Twitternya, Shahril menjelaskan UMNO telah pun membuat keputusan berhubung penyertaan Bersatu dalam MN.

Jelas beliau, UMNO juga tidak akan meninggalkan perjanjian yang telah dibuat hanya kerana Bersatu membuka keahliannya kepada bukan Melayu.


“Antara sebab lain, ia kelihatan sangat pelik memandangkan kita berada dalam BN dan MCA serta MIC juga menyokong MN.

“Selain itu, salah satu cabaran kami adalah meyakinkan orang bukan Melayu bahawa MN bukan kelab eksklusif. Kami telah mengatakan bahawa di seluruh negara.

“Malah Piagam MN menyebutkan hasrat inklusiviti. Oleh itu, kita tidak akan melakukan perkara yang jelas bertentangan,” katanya.


Shahril juga menjelaskan antara kandungan piagam MN ialah memperkukuhkan kerjasama itu melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

“Kalau parti nak buat keputusan drastik seperti yang dicadangkan, perlu ada sebab dan pertimbangan berlandaskan apa yang baik untuk negara dan parti.

“Sebab dan pertimbangan yang boleh diterima rakyat. Bukan semata-mata sebab satu parti dalam Kerajaan buka keahlian,” katanya lagi.


Sebelum ini, Tengku Razaleiegh berkata tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam “pakatan Melayu-Islam yang didukung Muafakat Nasional (MN)”.

Dalam satu kenyataan, Tengku Razaleih menggesa pemimpin UMNO yang menganggotai Kabinet Perikatan Nasional (PN) wajar menarik diri daripada kerajaan ekoran keputusan Bersatu itu. Awani

Leave a Reply