MOT buka semula tender projek terbesar dalam senarai rundingan terus

Kementerian Pengangkutan akan membuka semula tender untuk projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT 2), yang merupakan projek terbesar daripada projek rundingan terus yang disenaraikan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Rabu lalu.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, ini kerana siasatan mendapati projek bernilai RM4.475 bilion itu masih terlalu tinggi walaupun terdapat pengurangan kos oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Katanya, kabinet PH pada 5 Julai 2019 telah bersetuju untuk meneruskan projek tersebut dengan kos 15 peratus lebih rendah daripada RM5.265 bilion, termasuk pengurangan skop kerja.

Namun, pada bulan Oktober 2018, perunding yang dilantik oleh Kementerian Pengangkutan telah mengemukakan Laporan Kajian Profesional (PPR) yang menyimpulkan kos projek tersebut dianggarkan hanya RM3.398 bilion berdasarkan skop kerja Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd (DM-LTAT) yang asal.



“Maklumat ini tidak pernah dimaklumkan kepada kabinet pada masa itu.

“Setelah mempertimbangkan hasil penelitian dan penyelidikan yang menyeluruh, Kementerian telah memutuskan bahawa kos projek semasa adalah terlalu tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kronologi, kerajaan PH telah berusaha menamatkan pemberian kontrak dan membuka kembali tender projek berkenaan melalui tender terbuka, tetapi mempertimbangkannya semula selepas DM-LTAT mengemukan rayuan terhadap kontrak tersebut dan memberi amaran mengenai tindakan undang-undang-undang jika ia ditamatkan.

Wee berkata, Perunding Pemeriksaan Berkecuali (ICC) akan dilantik sebelum kontraktor baharu dapat melaksanakan skop kerja yang diperlukan bagi memendekkan tempoh pembinaan projek daripada tujuh tahun kepada lima tahun.



“Ini adalah penting dan diperlukan kerana projek ini akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada kira-kira 80,000 pengguna komuter setiap hari,” jelasnya.

Sebelum ini Menteri Kewangan Tengku Zafrul mengeluarkan senarai 101 kontrak kerajaan bernilai RM6.61 bilion yang diberikan melalui rundingan terus oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Projek paling berskala besar dalam senarai tersebut adalah KVDT2, yang merangkumi 67.7 peratus daripada nilai projek runding terus.

Bagaimanapun bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata banyak projek dalam senarai itu termasuk KVDT2 adalah projek yang diwarisi daripada kerajaan BN.



Lim berkata perjanjian dengan DM-LTAT dirundingkan semula bagi mengelakkan projek itu tertangguh dan kerajaan PH harus dipuji kerana menjimatkan wang pembayar cukai sebanyak RM790 juta dalam proses tersebut.

Sementara itu, Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyorot penjelasan menteri pengangkutan ketika itu, Anthony Loke kepada Dewan Rakyat pada 9 Julai 2019, bahawa projek itu tidak ditender semula untuk mengelakkan pembayaran pampasan kepada DM-LTAT.

Loke memberitahu parlimen bahawa DM-LTAT menganggarkan bahawa pampasan untuk menamatkan kontrak tersebut adalah berjumlah RM2.5 bilion. Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker